BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Bahagia Itu Lahir Dari Rasa Syukur

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم


~ Untuk aku, kamu & dia ~

Siapapun di atas muka bumi ini mahukan bahagia. Tiada siapa mahu hidup dalam kekusutan dan keserabutan.
Namun, bagaimana kita mendefinisikan bahagia yang umumnya sangat subjektif pada tafsiran individu?

Ada manusia yang bahagia dengan wang ringgit
Ada manusia yang bahagia dengan keluarga
Ada manusia yang bahagia dengan kerjaya
Bahkan, ada pula manusia yang bahagia dengan dosa. Nauzubillah.


Umumnya, bahagia itu adalah ketenangan. Tenang menghadapi hari-hari mendatang. Tenang berdepan liku-liku kehidupan. Menjemput bahagia dengan ketenangan yang disandarkan pada rasa hati yang bersyukur.

Dahulunya, saya pernah terfikir, alangkah bahagianya manusia disekeliling saya. Dengan keluarga dan anak-anak. Dengan kemewahan wang ringgit. Bahagia melihat kasih sayang mereka juga membuatkan saya merasa bahagia. Maka kemudiannya saya terfikir,

 “ Apa aku tak bahagia dengan apa yang aku ada?”
“ Sedangkan aku juga punya keluarga yang sangat menyayangi satu sama lain.”
“  Aku juga lahir dari keluarga yang serba serbi cukup kelengkapan, walaupun tidaklah terlalu mewah sehinggakan setiap apa kemahuan boleh dituruti.”


Ya, saya ada segalanya! Mengapa perlu merasakan orang lain lebih bahagia, sedangkan kita mencorak bahagia yang kita mahukan! 



Bukan kerana bahagia kita bersyukur, tetapi dengan bersyukur kita merasa bahagia.
Bila kita bersyukur dengan apa yang kita ada, maka kita beroleh ketenangan dan kecukupan dengannya. Allah mencukupkan kita dengan apa yang kita perlu.

Saat dan ketika ini, coraklah bahagia dengan dengan cara kita. Dengan menjemput bahagia melalui rasa syukur padaNya.

.: Allah tidak pernah mensia-siakan doa kita. Mintalah dariNya :.

Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang, Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang

Detik waktu kelahiran seorang bayi
dihiasi tangis Nyaring berkumandang
menyapa telinga ibu, lalu melonjak hati ibu
penawar sakit dan lesu

Lalu bermulalah sebuah kehidupann
yang bakal mewarnai bumi
berdakwatkan air mata
Hidup dimulakan oleh sebuah tangisan
dicelahi oleh tangisan
diakhiri dengan tangisan
Air mata manusia sentiasa dalam dua
yang menguntungkan atau merugikan

Sabda Rasulullah SAW:
“Dua titisan air yang Allah cinta, darah para syuhada’ dan air mata kerana takutkan Allah.”

Ibnu Ataillah, seorang ahli sufi dan makrifah telah berkata:
“Tangisan seorang pendosa lebih Allah cintai daripada tasbih para wali.”

Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada abid yang berangan-angan
di syurga mana kelak ia akan ditempatkan

Ahli-ahli sufi sering mengingatkan :
“Kejahatan yang  diiringi oleh rasa sedih, lebih Allah sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.”

Air mata ada kalanya penyubur hati, penawar duka
Ada kalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan, menyesak kehidupan
Penghuni Syuga adalah mereka, yang paling banyak dukacitanya di dunia

Nabi bersabda:
“Barangsiapa gembira di dunia akan berdukacita di akhirat. Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia, akan gembira di akhirat.”

Nabi bersabda lagi:
“Jika kamu tahu apa yang akan aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.”

Seorang hukama pernah bersyair:
“Aku  hairan dan aku pelik, melihat orang ketawa. kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan,
lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan.”

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, takut-takut tidak diterima. sedangkan kita masih ketawa walaupun amalan tiada
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Siapa yang buat dosa dalam ketawa, akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan
menangis.”

Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang
Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang

“Alangkah sempitnya kuburku,” ratap seorang abid.
“Alangkah sedikitnya hartaku,” keluh seorang hartawan.

Kita gembira yang kita idam-idamkan tercapai
Kita menangis kalau yang kita cita-citakan terbarai
Nikmat disambut ria, Ujian menjemput duka

Namun Allah SWT telah berfirman:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, Pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” [Surah Al-Baqarah: 216]

Menangislah wahai diri, agar senyummu banyak di kemudian hari
Kerana nasibmu belum pasti, di sana nanti lembaran sejarahmu dibuka satu persatu

Menangislah seperti Sayidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata:
“Kalau semua manusia masuk ke syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu,”

Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya: “Kenapakah engkau menangis?”
Jawabnya: “Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar ke medan perang.”

Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan
Lalu diharamkan matanya dari memandang ke langit seumur hidupnya.

Ibnu Masud r.a. berkata:
“Seorang yang mengerti Al-Quran dikenal waktu malam ketika orang lain tidur,
dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa,
sedihnya ketika orang lain sedang gembira, dan tangisnya di waktu orang lain tertawa,
diamnya di waktu orang lain bicara,
khusyuk di waktu orang lain berbangga.
Seharusnya orang yang mengerti Al-Quran itu tenang,
lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras,
kejam, lalai, bersuara keras dan marah.”

Tanyailah orang-orang soleh, mengapa mereka yang banyak menangis
Mereka akan menjawab:
“Bagaimana hendak gembira Sedangkan mati itu di belakang kami,
kubur di hadapan, Qiamat itu janjian kami, Neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah Allah.”

Mereka menangis di sini
Sebelum menangis di sana
Dan kita bagaimana?
menangislah kerana kita tidak menangis seperti mereka menangis


sumber : http://genta-rasa.com/2013/10/22/belum-tibakah-masanya-untuk-kau-menangis/

.: Allah ciptakan air mata sebagai peneman kita, kerana Allah tahu keperluan hambaNya. Menangislah, kerana air mata itu nikmat dariNya :.

Kehidupan Manusia : Iktibar Dari Sebatang Pensil

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Kehidupan manusia, ada jangka hayatnya. Allah beri nikmat hidup untuk dimanfaatkan sebaiknya. Menanam baja didunia, untuk dituai hasilnya diakhirat. Ibarat sebatang pensil, banyak perkara dan manfaat kita perolehi daripada sebatang pensil.Begitu juga seharusnya kehidupan manusia.

Pertama, pensil itu mengingatkan jika kita boleh membuat sesuatu yang hebat dalam hidup ini. Jangan lupa, ibarat pensel, ada tangan yang memegangnya. Maka ingatlah, akan adanya kuasa yang membimbing langkah hidup kita, iaitu Allah s.w.t. Dia akan selalu membimbing kita menuntut kehendakNya.

Kedua, ketika menulis, pensil akan kerap menjadi tumpul. Kita terpaksa berhenti untuk mengasahnya. Pensel itu pasti menderita ketika diraut, tetapi hasilnya ia menjadi tajam dan kemas tulisannya. Begitu juga akan berlaku dalam kehidupan kita. Kita mesti berani menempuh kesusahan kerana ia menjadi baja atau pendorong untuk diri kita menjadi lebih baik.


Ketiga, pensil itu mungkin menghasilkan tulisan yang salah. Namun, kita boleh memadamkan dan betulkan tulisan ini semula. Begitulah manusia, sentiasalah memperbaiki kesalahan dalam hidup. Ia bukanlah sesuatu yang hina kerana dengan memperbaiki kelemahan, kita akan sentiasa berusaha berada di jalan yang benar.

Keempat, tahukah kita yang mana lebih penting. Antara luar dan dalam pensil? Sudah tentu arang atau karbon di dalamnya. Sebagaimana adanya sekeping hati dalam diri manusia. Oleh sebab itu, berhati-hatilah dengan apa yang tidak baik dalam diri kita dan hindarilah kerana ia membentuk kita diluarnya.


Kelima, pensil ini selalu meninggalkan tanda atau goresan apabila menulis. Begitu juga kita, apa sahaja yang kita buat pasti akan meninggalkan kesan pada diri kita atau pada orang lain. Maka berhati-hatilah sebelum bertindak.

Jika sebatang pensil Allah ciptakan punya manfaat yang pelbagai buat manusia, pastinya manusia yang Allah ciptakan ini juga punya manfaat yang lebih untuk seisi alam ciptaanNya.

.: Notakaki : Memanfaatkan kehidupan bukan hanya untuk diri sendiri. Hargai nikmat diri yang Allah beri. Indah ciptaan Allah, indah peraturan Allah. Pesanan khusus buat diri sendiri. :.


Manusia Dan Ujian Hati – Muhasabah Diri

Hati manusia sering kali diuji. Hanya bertemankan iman untuk mengharungi perasaan yang Allah anugerahkan ini. 

Saat hati diuji dengan kecintaan pada manusia, airmata menjadi peneman setia. Hanya Allah tempat meluah segala, hanya Dia mengetahui isi hati hambaNya. Sungguh, perasaan ini fitrah. Allah hadiahkan buat semua hambaNya, sebagai satu nikmat tatkala ia digunakan ditempat yang betul,juga sebagai ujian tatkala ia bukan pada masa dan orang yang selayaknya. Kerisauan menerpa, andai perasaan ini menjadikan kecintaan pada Allah itu bukan yang utama.

Aku hamba Tuhanku, bukan hamba cinta manusia..!

Seringkali berdoa agar Allah hilangkan perasaan yang bukan pada tempat dan waktunya, supaya dapat terus mengharungi kehidupan seperti biasa. Dan Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Andai diberikan lagi ujian menguji hati, lebih hebat dan perlunya ketahanan Iman yang lebih mantap untuk mengharungi ujian ini.

Sungguh, Dia menguji dengan hikmah. Setiap darinya diselitkan pengajaran, bukan sekadar ujian kosong. Berdiri hari ini, meneruskan langkah, berbekal keyakinan yang tinggi padaNya, berserah segala padaNya. Meniti hari dengan tanda tanya yang hanya Allah akan beri jawapan suatu hari nanti.

Antara bertemu cinta manusia, atau lebih pasti untuk bertemu janji denganNya di akhirat sana.!


Aku hanya manusia biasa, kita hanya manusia biasa, yang sedang sentiasa cuba perbaiki diri. Mengagumi srikandi Islam dahulu,mengagumi sahabat-sahabt Nabi terdahulu, namun jauh sekali dibandingkan dengan mereka.  Mendidik diri, mendidik jiwa, mentarbiyah hati agar terus kuat melangkah dengan pasti, penuh keyakinan pada janji Ilahi. Berpegang teguhlah dengan tali Allah, agar kita tahu bahawa Allah sedang melakar sesuatu yang indah sebagai jalan kehidupan kita walau ia ujian sukar buat kita.

“Rabbi Yassir Wala Tu’assir, Rabbi Tammim Bil Khair”
Ya Allah, permudahkanlah jangan kau susahkan, semoga segalanya berakhir dengan baik

“Hasbunallah wa ni’mal wakil”
Allah cukup bagiku dan Dialah sebaik baik penjaga

Notakaki : Andai bidang pengurusan perniagaan mengajar kita mengurus sebuah perniagaan dengan baik, perlunya juga kita belajar bidang pengurusan hati agar ia dapat diurus dengan baik berpandukan iman dalam diri.

Aku Tidak Gagal.!

"Aku gagal. dah beberapa kali aku cuba, tapi aku gagal."

Ya, kata-kata ini lah yang hakikatnya membunuh kita secara diam-diam. dan akhirnya, kita mati dalam keadaan tidak kita sedar. Mati yang bagaimana? Mati akal untuk mencuba, mati hati untuk melihat jalan lain, dan berputus asa dari rahmat Allah. Pastinya anda pernah merasai putus asa untuk mencuba dan terus mencuba......

Jom berfikir positif...! Jom ubah...! bagaimana..?
Apa yang anda fikir, itu membentuk diri anda, Apa yang telah di'set'kan di minda, itu yang akan memandu perjalanan sebahagian kehidupan anda.


"Aku gagal, dah beberapa kali aku cuba, tapi aku gagal."
 VS
"Aku dah cuba beberapa kali. tetapi masih belum berjaya."

Gagal dan belum berjaya adalah dua perkara yang ketara berbeza.
Bilamana anda gagal, bermakna tiada harapan untuk anda mencuba dan terus mencuba.
Bilamana ianya belum berhasil, anda masih boleh terus mencuba sehingga berjaya.

Sejarah telah membuktikan, Thomas Alva Edison belum berhasil mencuba sehingga beribu kali untuk menghasilkan lampu pijar, tetapi akhirnya berjaya buat setelah lebih 10000 kali mencuba. Dia tidak gagal tanpa terus mencuba, dia mencuba tetapi belum bertemu hasilnya. Dan, usaha percubaannya mendatangkan hasil..! Andai kata dia mengaku gagal dan berputus asa di peringkat awl, pasti tidak akan ada hasil dari dia yang bernama Thomas Alva Edison ketika itu. Itu perbezaannya, dan lihat hasilnya..! 

Lihat pula Albert Einstein, dia merupakan pakar Matematik dan Fizik. Tahukah anda, diperingkat awal, Albert Einstein ini pernah gagal dalam ujian Matematik. Tetapi kegagalan itu tidak menutup jalan usahanya untuk bertemu hasil hebat di penghujungnya. Siapa dia yang kita kenali? Pakar Fizik dan Matematik terkemuka. Formula-formulanya digunapakai manusia. 


 Ambil iktibar dari dua cerita ini. Jika mereka, terus yakin dengan usaha yang dilakukan mampu mendatangkan hasil, maka kita selaku umat Muhammad S.A.W diajar dan dididik utk tidak berputus asa dari rahmat Allah, inikan pula merasa gagal dan tidak mahu terus berusaha dalam sesuatu perkara. 

Anda belum pernah temui perkataan penghujung gagal dalam hidup anda, tetapi yang anda temui adalah, belum berhasilnya usaha anda.

Buat diri ini dan rakan-rakan, yakinlah, Allah menyediakan jalan terbaik buat kita, Allah menguji kita dengan berbagai ujian. Bersabar, berusaha dan jangan berputus asa dari rahmat Allah. InsyaAllah, anda akan menemui satu kemanisan di akhirnya. Berusaha, dan terus berusaha mencapai sesuatu perkara. Andai perkataan GAGAL di depan mata, itu cuma mainan semata-mata. Disebalik GAGAL itu, ada HASIL yang menanti jika diteruskan dengan USAHA.

p/s~Buat diri,buat semua, ayuh turut berusaha menjadi muslim terbaik. Semoga Allah Redha.

Untuk Wanita Cantik!



"Cantiknya awak! dengan rambut tersisir rapi, kemas berikat.
Awak pun cantik, dengan shawl kemas dan sanggul tinggi dibelakang.
Awak pun tak kurang menarik, dengan wangian dan solekan di muka. Pastinya ramai akan selesa dan suka.
Tapi, cantik lagi kalau awak berhias sekadar keperluan shj. Tutup aurat sesempurnanya. Risau2 jadi tabarruj kalau-kalau terlebih solekan dan hiasan itu. Dan pastinya, aurat tak tertutup akan diseksa."


“Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kecantikan”. 
(Hadis riwayat Muslim dan At-Tirmidzi).



Allah tak kata kita tidak perlu untuk menjaga penampilan mahupun tidak menjaga kekemasan di luar. Tapi Allah menetapkan syaratnya. Solekan biar berpada, berhias ada batasnya, Aurat perlu dijaga. Tapi Allah tak pernah menetapkan aurat perlu didedahkan utk nampak cantik luaran. Peliharalah aurat itu untuk yang berhak. Hilang serinya nanti andai dari sekarang ia dah pun menjadi tatapan umum.


Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al Ahzab : 59)

Baiklah, pastinya semua orang punyai impian ke suatu tempat yang menarik di dunia ini. Dan tanpa anda duga, anda diberikan jalan menuju ke tempat tersebut. Tetapi, anda harus membuat pilihan. Antara dua pilihan yang mana akan dipilih?

Jika anda diberi peluang untuk menuju tempat tersebut menaiki kenderaan yang cantik, yang besar, yang berkilat, dengan tayar sport rim, dengan aksesori-aksesori baru, dan kereta tersebut ada ada atap yang boleh dibuka. Tetapi, kereta cantik ini telah digunapakai dan disentuh oleh tangan-tangan pemandu yang ramai. Bertukar-tukar serta ke pelbagai tempat. Dalam kereta pula penuh dengan puntung rokok, dengan sampah makanan, dengan tisu bertebaran serta dengan kesan-kesan tertumpahnya air minuman. Dan kereta ini tiada jaminan untuk anda sampai ke destinasi anda, andai anda tidak menyediakan kelengkapan sepenuhnya untuk membaiki kerosakan yang ada.

Dan kereta yang kedua pula, adalah kereta yang anda tak mampu untuk menilai sebagai mana anda menilai kereta yang pertama. Ia disimpan rapi di bawah garaj besar, di tutup pula dengan kain tebal yang melindungi rupa bentuk kereta tersebut. Apa yang anda diberitahu Cuma, kereta itu sangat cantik, dalamnya bersih, kemas, tidak mudah digunakan sesuka hati, perlu meminta kebenaran terlebih dahulu! Kereta ini sangat dijaga rapi tuannya, jangankan kata dekat untuk melihat, melirik dari jauh pun pastinya akan menyebabkan anda akan dipandang pelik. Tetapi, kereta ini mampu untuk menjadi kenderaan anda menuju ke tempat yang diidamkan dengan kebolehan dan kecekapan anda memandunya.


Analogi mudah. Begitulah manusia, pastinya mempunyai cita-cita tinggi menuju syurga Allah. Anda diberikan dua pilihan, dengan mentransformasikan dua buah kereta tadi kepada wanita. Wanita pertama dengan  terdedah auratnya, cantik luarannya dan dalaman jauh terkeluar dari kiasan luaran. Manakala, wanita kedua yang tertutup rapi auratnya, yang ternyata jelas tahu batasan auratnya dan ikut perintah Allah S.W.T. 

Kecantikan luaran terbit dari keperibadian dalaman!

Yang mana akan kaum lelaki di luar sana pilih untuk dijadikan peneman jalan menuju syurga?
Anda menilai, Anda memilih, Anda memimpin.

Wahai wanita, ini bukan bermakna anda perlu berubah demi mendapatkan lelaki-lelaki soleh. 
Berubahlah kerana Allah, InsyaAllah, Allah akan berikan yang terbaik buat anda.

Facebook Pun Beraya, Gambar Oh Gambar

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin..

Alhamdulillah, setahun Islam lagi kita diberi kesempatan utk berada di muka bumi Allah..
Raya kali ini pasti berbeza, sebagaimana berbezana Ramadhan kali ini..


Tagline Ramadahn yang menarik dan sgt bermakna...
"Ramadhan Yang Sama, Natijah Yang Berbeza"...

Dalam sibuk kita beraya, Facebook pun turut beraya...Bagaimana?


Musim Hari Raya, kalau buka Facebook, pastinya FB meriah dengan kuih-kuih raya, makanan-makanan raya dan, tidak ketinggalan, kemeriahan gambar-gambar yang dipost dengan sangat banyaknya.

Nah, tu dia..! Gambar-gambar raya..
Cantik...
Semua berpakaian sama warna..
Semua berpakaian sama coraknya..
Yang lelaki kemas dan handsome berpakaian baju melayu..
Yang perempuan cantik bergaya dengan baju kurungnya..
Tak lupa yang berjubah dan berkebaya...
Dengan tambahan solekan di muka...
Wahh..! Indah...Tak Terkata...

tetapi...
gambar-gambar yang dipost itu, sudah cukup sempurnakah tertutup auratnya?
gambar-gambar yang dipost itu, tidak mendatangkan fitnahkah dengannya?
gambar-gambar yang dipost itu, tidak menggairahkankah dengan posing mautnya?
gambar-gambar yang dipost itu, apakah tujuan utamanya?


Allah..Allah..
Kadang kala kita leka..
Perkara mudah ambil sambil lewa..
Dengan mudah tercatat dosa...
Akhirnya, berkongsi saham bersama..

Wahai wanita hiasan dunia,
Permata itu tinggi nilainya..
Tak mudah diraih dengan login Facebook shj..

Semoga menjadi muhasabah dan ingatan bersama..


notakaki : Jom jadikan facebook medan dakwah..semoga ada yang terkesan dengannya, InsyaAllah..

Akan Tetap Aku Di Jalan Ini

"Aku adalah anak-anak panah Islam. Campakkanlah aku ke mana sahaja, aku tetap berjuang demi Islam."  ~Saad bin Abi Waqqas~

Kata-kata ini dipegang dengan ampuh supaya terus tersemat dan terus menjadi ingatan, walau dimana saya berada....

Sungguh, bukan mudah untuk terus istiqamah, tetapi keyakinan pada Allah dan kekuatan diri itu menjadi benteng ketahanan diri. 

Kadang-kala, manusia menjadi baik hanya kerana persekitaran. Jika persekitaran kita baik, maka baiklah kita. Jika kita bersama persekitaran yang sedikit berbeza, maka berubahlah pembawakan kita. Sehingga akhirnya, banyaklah cerita-cerita mereka yang hebat suatu masa dulu, kini adalah mereka yang kelihatan seperti "hilang arah"..Nau'zubillah...

Ujian Allah takkan pernah lekang, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mahukan Islam. Namun, sifir mudah perlu kita ingat, "Perjuangan Rasulullah jauh lebih diuji dari kita. Ujian ini baru sedikit. Bertahanlah, andai anda mahu lihat Islam terus tertegak dan subur di muka bumi ini.!"
















 Firman Allah :

ankabut2




Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? [al-Ankabut: 2]
  
  
Jadilah seperti benih yang baik. Benih yang baik kalau di campak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau. Begitulah juga Islam dan kita, campaklah ke mana sahaja, akan tetap Islam aku bawa. Akan tetap Islam aku perjuangkan. Semoga gerak kerja itu tidak akan aku tinggalkan.

p/s ~ Ya Allah, semoga aku terus thabat utk berada di jalanMu. Semoga kekuatan juga bersama-sama teman-teman seperjuanganku memperjuangkan agamaMu. Bukan kerana nama, bukan kerana pangkat, namun utk Islam dan kerana Allah. InsyaAllah.

Campaklah ke mana sahaja, Islam pasti aku bawa bersama......

 




Di Mana Dia Di Hatimu?

Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.
Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."
Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.
Ketika di ambang maut?
Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?"
Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."
Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati baginda.
Ketika tiada siapa mengetahui?
Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"
"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."
"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.
"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.
Saidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan yang tinggi di sisiALLAH. Jelas ada DIA di hatinya.
Ketika kamu tiada jawatan?
Satu ketika yang lain, Saidina Khalid Al-Walid diturunkan pangkatnya daripada seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh Khalifah Umar. Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas sedikit pun perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat.
Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid menjawab, "Aku berjuang bukan kerana Umar." Ya, Saidina Khalid berjuang kerana ALLAH. Ada DIA di hatinya.
Lalu, di mana Dia dihati kita?
Melihat anekdot-anekdot itu, aku terkesima lalu bertanya kepada diri, di manakah DIA dalam hatiku?
Apakah ALLAH sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk serta membujuk hatiku yang rawan?
ALLAH ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta ALLAH bersemi. Jika cinta ALLAH yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya, cinta selain-NYA yang ada di situ, maka cinta ALLAH akan terpinggir. Ketika itu, tiada DIA di hatiku!
Sering diri ini berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidupku, kata mereka (dan aku amat yakin dengan kata itu);
"Bila ALLAH ada di hatimu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki."
Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah ALLAH menjadi tumpuan dalam hidupku?
Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-NYA?
Bila bertembung antara kehendak-NYA dengan kehendakku, kehendak siapa yang aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerana-NYA? Tegakah aku membenci juga kerana-NYA?
Muhasabah ini melebar lagi. Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam-MU?
Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?
Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai-MU, ya ALLAH.
Dan aku juga tidak dapat mendustai diri sendiri
Aku teringat bagaimana suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, "Apakah engkau takutkan ALLAH?"
Dia menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak..."
Maksudnya, jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan ALLAH pun sukar bila ditanyakan apakah ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagilah aku yang hina dan berdosa ini.
Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.
Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"
Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."
Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.
Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.
Dan kita akan terus mengemis kasih...
sumber :iluvislam

Bila Hati Diguris

Kadang-kadang hati sakit bila disindir, tapi itu adalah lebih baik daripada bercakap di belakang, bila disindir menangis sebentar tapi impak selepasnya amat besar. Perubahan diri yang ketara dan lebih baik dari sebelumnya.
Belajarlah menerima sindiran walaupun sebenarnya tidak begitu beradab menyindir orang. Semuanya kerana di atas paksi kebaikan dan kemaslahatan yang lebih besar pada masa hadapan.
Aku bukanlah manusia yang sempurna. Mungkin pada zaman silam aku pernah melukakan hati, mencabut rasa tenang. Mungkin kata-kataku sungguh menyakitkan hati, tiada apa yang aku persembahkan melainkan huluran tangan memohon seribu kemaafan. Maafkan aku bersama dengan doamu.
Aku menulis bukan untuk memberitahu diri ini baik.
Aku menulis hanya untuk memberitahu diri ini supaya menjadi baik.
Bersama menginsafkan diri dalam mencari keredhaan Ilahi.
Ambil hati. Sakit hati. Pedih hati. Terasa hati. Bila perasaan ini dibiarkan terlalu lama membengkak dalam hati, maka akan tidak sihatlah hati itu. Pemiliknya pun akan muram, jauh dari keceriaan. Lebih parah lagi, menjauhkan manusia dari Rabb-Nya.
Mengapa tidak untuk berhusnuzon, sedangkan itu lebih mulia.
Mengapa tidak memahami, sedangkan kita bersaudara.
Mengapa tidak bersikap positif, sedangkan ikhtilaf hati itu padah jawabnya.
Mengapa tidak bersama dalam perjuangan ini,sedangkan tanggungjawab kita adalah sama.
Mengapa tidak meluangkan masa bersama sedangkan, kita semua adalah dai'e.
Positif menjadikan kita bersangka baik. Bersangka baik lebih menenangkan hati. Orang hebat biasanya kerana dia hebat dalam hubungan dengan Allah. Tapi ada juga yang hebat dunia sahaja, hubungan dengan Allah entah ke mana. Dia tidak bersangka baik dengan Allah apatah lagi dengan makhluknya. Adab dan akhlak dalam pengurusan hati masih lagi samar untuk diiktiraf sebagai seorang dai'e.
Sekiranya semakin kita bijak, semakin jauh diri kita daripada-Nya, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan diri. Jauhkanlah sifat itu dari dalam diri.
Apa pun, jangan resah andai ada yang membenci. Andai ada yang tidak berpuas hati. Andai ada yang tidak menyenangi. Kerana masih ramai yang mencintai kita di dunia. Resahlah andai Allah membenci kerana tiada lagi yang mencintai kita di akhirat.
Nabi SAW bersabda "Sesungguhnya Allah memberikan dunia kepada siapa yang dicintai-Nya dan siapa yang tidak dicintai-Nya, tetapi Allah tidak memberikan iman kecuali kepada siapa yang dicintai-Nya."
sumber : iluvislam

Hendak Memberi atau Terima?

~Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang~

  • Beri atau Terima?
Antara memberi dan menerima, mana yg lg seronok? Pasti rmai akan kata, menerima. Sama mcm kita beri dan terima hadiah, pasti rmai yg akan kata, yg mnerima hadiah lg gembira dr yg memberi...

Cuba kita bygkn analogi ini....

Dua orang shbt baik. Si A dan B. Si A suka membaca dan sgt sukakan buku yg ditulis oleh penulis Z. Kebetulan, lg 2 mggu hari lahir A dan pd masa yang sama, penulis Z ada keluarkan buku terbaru di pasaran..jd, sbg shbt, B tak nak lepaskan peluang utk dptkn buku tu dan dijadikan hadiah sempena hari lahir A...

Bayangkan pada hari B hadiahkn buku pada A, A sgt2 gembira sbb dpt hadiah yg sgt dia suka dan berharga dr shbt sdiri. Itu kegembiraan yg kita dpt lihat pada zahirnya. Tp hakikatnya, siapa yg lebih gembira? si A yg mnerima atau si B yg memberi? letakkan diri anda di tempat penerima dan pemberi.Pastinya, perasaan seronok dan gembira pemberi melebihi penerima apabila pemberian kita diterima dgn sng hati dan dihargai penerima....

Begitu juga dlm kehidupan seharian kita. Memberi bukan shj dlm bntuk brgn yg nyata spt wang dan hadiah atau barang. Tetapi, pemberian spt pengisian,nasihat,kata2 smgt yang berguna juga sbrnya merupakan pemberian yg sgt bermakna. lebih2 lagi, apabila pemberian tersebut mampu utk tambah 'saham' akhirat kita. InsyaAllah.

  • Berilah Walau Sedikit
Bukan banyak yang diperlukan utk memberi. Bukan nilai sesuatu brg yg dikira dlm pemberian. Yg penting, ianya ikhlas dalam memberi.

Tidak susah dan tidak mahal utk menggembirakan org lain. Kata-kata, senyuman,ataupun doa. Tidak walau 1 sen pun dikeluarkan utk kita memberi semua itu. Tetapi ianya cukup berharga buat si penerima. Dan kegembiraan itu akan dtg kepada kita semula. Bak kata pepatah inggeris "what you give,you get back".

Jika anda miskin, jangan jadikan itu sebagai alasan untuk tidak memberi. Jadilah si miskin seperti Sayidina Ali Karamallahu wajhah. Dia tetap memberi walaupun hidup dalam kemiskinan. Sesungguhnya dia sangat menyedari apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa Allah cinta kepada orang yang pemurah, namun Allah lebih cintakan orang miskin yang pemurah.


  • Bukan Sekadar Memberi Tanpa Balasan
Bukan balasan atas setiap pemberian yg kita harapkan. tetapi manfaat dari setiap pemberian kepada penerima yg kita utamakan. Balasan utk setiap perbuatan kita, pemberian kita,hanya Allah yg mampu utk membalasnya.

Dalam FirmanNya:

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalannya). Dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalannya).” (Surah al-Zalzalah 99: 7-8)

Jangan mengharapkan balasan manusia sedangkan balasan dari Allah lebih baik. Jadikan keyakinan kepada Allah itu pendorong kepada kita utk memberi dan terus memberi.

p/s~Jika selama ini kita jadi penerima yg baik, maka belajarlah utk menjadi pemberi pula. sampaikanlah apa yg kita terima itu kepada org lain, supaya kebaikannya kita terima bersama.