BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang, Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang

Detik waktu kelahiran seorang bayi
dihiasi tangis Nyaring berkumandang
menyapa telinga ibu, lalu melonjak hati ibu
penawar sakit dan lesu

Lalu bermulalah sebuah kehidupann
yang bakal mewarnai bumi
berdakwatkan air mata
Hidup dimulakan oleh sebuah tangisan
dicelahi oleh tangisan
diakhiri dengan tangisan
Air mata manusia sentiasa dalam dua
yang menguntungkan atau merugikan

Sabda Rasulullah SAW:
“Dua titisan air yang Allah cinta, darah para syuhada’ dan air mata kerana takutkan Allah.”

Ibnu Ataillah, seorang ahli sufi dan makrifah telah berkata:
“Tangisan seorang pendosa lebih Allah cintai daripada tasbih para wali.”

Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada abid yang berangan-angan
di syurga mana kelak ia akan ditempatkan

Ahli-ahli sufi sering mengingatkan :
“Kejahatan yang  diiringi oleh rasa sedih, lebih Allah sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.”

Air mata ada kalanya penyubur hati, penawar duka
Ada kalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan, menyesak kehidupan
Penghuni Syuga adalah mereka, yang paling banyak dukacitanya di dunia

Nabi bersabda:
“Barangsiapa gembira di dunia akan berdukacita di akhirat. Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia, akan gembira di akhirat.”

Nabi bersabda lagi:
“Jika kamu tahu apa yang akan aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.”

Seorang hukama pernah bersyair:
“Aku  hairan dan aku pelik, melihat orang ketawa. kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan,
lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan.”

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, takut-takut tidak diterima. sedangkan kita masih ketawa walaupun amalan tiada
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Siapa yang buat dosa dalam ketawa, akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan
menangis.”

Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang
Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang

“Alangkah sempitnya kuburku,” ratap seorang abid.
“Alangkah sedikitnya hartaku,” keluh seorang hartawan.

Kita gembira yang kita idam-idamkan tercapai
Kita menangis kalau yang kita cita-citakan terbarai
Nikmat disambut ria, Ujian menjemput duka

Namun Allah SWT telah berfirman:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, Pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” [Surah Al-Baqarah: 216]

Menangislah wahai diri, agar senyummu banyak di kemudian hari
Kerana nasibmu belum pasti, di sana nanti lembaran sejarahmu dibuka satu persatu

Menangislah seperti Sayidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata:
“Kalau semua manusia masuk ke syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu,”

Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya: “Kenapakah engkau menangis?”
Jawabnya: “Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar ke medan perang.”

Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan
Lalu diharamkan matanya dari memandang ke langit seumur hidupnya.

Ibnu Masud r.a. berkata:
“Seorang yang mengerti Al-Quran dikenal waktu malam ketika orang lain tidur,
dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa,
sedihnya ketika orang lain sedang gembira, dan tangisnya di waktu orang lain tertawa,
diamnya di waktu orang lain bicara,
khusyuk di waktu orang lain berbangga.
Seharusnya orang yang mengerti Al-Quran itu tenang,
lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras,
kejam, lalai, bersuara keras dan marah.”

Tanyailah orang-orang soleh, mengapa mereka yang banyak menangis
Mereka akan menjawab:
“Bagaimana hendak gembira Sedangkan mati itu di belakang kami,
kubur di hadapan, Qiamat itu janjian kami, Neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah Allah.”

Mereka menangis di sini
Sebelum menangis di sana
Dan kita bagaimana?
menangislah kerana kita tidak menangis seperti mereka menangis


sumber : http://genta-rasa.com/2013/10/22/belum-tibakah-masanya-untuk-kau-menangis/

.: Allah ciptakan air mata sebagai peneman kita, kerana Allah tahu keperluan hambaNya. Menangislah, kerana air mata itu nikmat dariNya :.

Kehidupan Manusia : Iktibar Dari Sebatang Pensil

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Kehidupan manusia, ada jangka hayatnya. Allah beri nikmat hidup untuk dimanfaatkan sebaiknya. Menanam baja didunia, untuk dituai hasilnya diakhirat. Ibarat sebatang pensil, banyak perkara dan manfaat kita perolehi daripada sebatang pensil.Begitu juga seharusnya kehidupan manusia.

Pertama, pensil itu mengingatkan jika kita boleh membuat sesuatu yang hebat dalam hidup ini. Jangan lupa, ibarat pensel, ada tangan yang memegangnya. Maka ingatlah, akan adanya kuasa yang membimbing langkah hidup kita, iaitu Allah s.w.t. Dia akan selalu membimbing kita menuntut kehendakNya.

Kedua, ketika menulis, pensil akan kerap menjadi tumpul. Kita terpaksa berhenti untuk mengasahnya. Pensel itu pasti menderita ketika diraut, tetapi hasilnya ia menjadi tajam dan kemas tulisannya. Begitu juga akan berlaku dalam kehidupan kita. Kita mesti berani menempuh kesusahan kerana ia menjadi baja atau pendorong untuk diri kita menjadi lebih baik.


Ketiga, pensil itu mungkin menghasilkan tulisan yang salah. Namun, kita boleh memadamkan dan betulkan tulisan ini semula. Begitulah manusia, sentiasalah memperbaiki kesalahan dalam hidup. Ia bukanlah sesuatu yang hina kerana dengan memperbaiki kelemahan, kita akan sentiasa berusaha berada di jalan yang benar.

Keempat, tahukah kita yang mana lebih penting. Antara luar dan dalam pensil? Sudah tentu arang atau karbon di dalamnya. Sebagaimana adanya sekeping hati dalam diri manusia. Oleh sebab itu, berhati-hatilah dengan apa yang tidak baik dalam diri kita dan hindarilah kerana ia membentuk kita diluarnya.


Kelima, pensil ini selalu meninggalkan tanda atau goresan apabila menulis. Begitu juga kita, apa sahaja yang kita buat pasti akan meninggalkan kesan pada diri kita atau pada orang lain. Maka berhati-hatilah sebelum bertindak.

Jika sebatang pensil Allah ciptakan punya manfaat yang pelbagai buat manusia, pastinya manusia yang Allah ciptakan ini juga punya manfaat yang lebih untuk seisi alam ciptaanNya.

.: Notakaki : Memanfaatkan kehidupan bukan hanya untuk diri sendiri. Hargai nikmat diri yang Allah beri. Indah ciptaan Allah, indah peraturan Allah. Pesanan khusus buat diri sendiri. :.


Manusia Dan Ujian Hati – Muhasabah Diri

Hati manusia sering kali diuji. Hanya bertemankan iman untuk mengharungi perasaan yang Allah anugerahkan ini. 

Saat hati diuji dengan kecintaan pada manusia, airmata menjadi peneman setia. Hanya Allah tempat meluah segala, hanya Dia mengetahui isi hati hambaNya. Sungguh, perasaan ini fitrah. Allah hadiahkan buat semua hambaNya, sebagai satu nikmat tatkala ia digunakan ditempat yang betul,juga sebagai ujian tatkala ia bukan pada masa dan orang yang selayaknya. Kerisauan menerpa, andai perasaan ini menjadikan kecintaan pada Allah itu bukan yang utama.

Aku hamba Tuhanku, bukan hamba cinta manusia..!

Seringkali berdoa agar Allah hilangkan perasaan yang bukan pada tempat dan waktunya, supaya dapat terus mengharungi kehidupan seperti biasa. Dan Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Andai diberikan lagi ujian menguji hati, lebih hebat dan perlunya ketahanan Iman yang lebih mantap untuk mengharungi ujian ini.

Sungguh, Dia menguji dengan hikmah. Setiap darinya diselitkan pengajaran, bukan sekadar ujian kosong. Berdiri hari ini, meneruskan langkah, berbekal keyakinan yang tinggi padaNya, berserah segala padaNya. Meniti hari dengan tanda tanya yang hanya Allah akan beri jawapan suatu hari nanti.

Antara bertemu cinta manusia, atau lebih pasti untuk bertemu janji denganNya di akhirat sana.!


Aku hanya manusia biasa, kita hanya manusia biasa, yang sedang sentiasa cuba perbaiki diri. Mengagumi srikandi Islam dahulu,mengagumi sahabat-sahabt Nabi terdahulu, namun jauh sekali dibandingkan dengan mereka.  Mendidik diri, mendidik jiwa, mentarbiyah hati agar terus kuat melangkah dengan pasti, penuh keyakinan pada janji Ilahi. Berpegang teguhlah dengan tali Allah, agar kita tahu bahawa Allah sedang melakar sesuatu yang indah sebagai jalan kehidupan kita walau ia ujian sukar buat kita.

“Rabbi Yassir Wala Tu’assir, Rabbi Tammim Bil Khair”
Ya Allah, permudahkanlah jangan kau susahkan, semoga segalanya berakhir dengan baik

“Hasbunallah wa ni’mal wakil”
Allah cukup bagiku dan Dialah sebaik baik penjaga

Notakaki : Andai bidang pengurusan perniagaan mengajar kita mengurus sebuah perniagaan dengan baik, perlunya juga kita belajar bidang pengurusan hati agar ia dapat diurus dengan baik berpandukan iman dalam diri.

Aku Tidak Gagal.!

"Aku gagal. dah beberapa kali aku cuba, tapi aku gagal."

Ya, kata-kata ini lah yang hakikatnya membunuh kita secara diam-diam. dan akhirnya, kita mati dalam keadaan tidak kita sedar. Mati yang bagaimana? Mati akal untuk mencuba, mati hati untuk melihat jalan lain, dan berputus asa dari rahmat Allah. Pastinya anda pernah merasai putus asa untuk mencuba dan terus mencuba......

Jom berfikir positif...! Jom ubah...! bagaimana..?
Apa yang anda fikir, itu membentuk diri anda, Apa yang telah di'set'kan di minda, itu yang akan memandu perjalanan sebahagian kehidupan anda.


"Aku gagal, dah beberapa kali aku cuba, tapi aku gagal."
 VS
"Aku dah cuba beberapa kali. tetapi masih belum berjaya."

Gagal dan belum berjaya adalah dua perkara yang ketara berbeza.
Bilamana anda gagal, bermakna tiada harapan untuk anda mencuba dan terus mencuba.
Bilamana ianya belum berhasil, anda masih boleh terus mencuba sehingga berjaya.

Sejarah telah membuktikan, Thomas Alva Edison belum berhasil mencuba sehingga beribu kali untuk menghasilkan lampu pijar, tetapi akhirnya berjaya buat setelah lebih 10000 kali mencuba. Dia tidak gagal tanpa terus mencuba, dia mencuba tetapi belum bertemu hasilnya. Dan, usaha percubaannya mendatangkan hasil..! Andai kata dia mengaku gagal dan berputus asa di peringkat awl, pasti tidak akan ada hasil dari dia yang bernama Thomas Alva Edison ketika itu. Itu perbezaannya, dan lihat hasilnya..! 

Lihat pula Albert Einstein, dia merupakan pakar Matematik dan Fizik. Tahukah anda, diperingkat awal, Albert Einstein ini pernah gagal dalam ujian Matematik. Tetapi kegagalan itu tidak menutup jalan usahanya untuk bertemu hasil hebat di penghujungnya. Siapa dia yang kita kenali? Pakar Fizik dan Matematik terkemuka. Formula-formulanya digunapakai manusia. 


 Ambil iktibar dari dua cerita ini. Jika mereka, terus yakin dengan usaha yang dilakukan mampu mendatangkan hasil, maka kita selaku umat Muhammad S.A.W diajar dan dididik utk tidak berputus asa dari rahmat Allah, inikan pula merasa gagal dan tidak mahu terus berusaha dalam sesuatu perkara. 

Anda belum pernah temui perkataan penghujung gagal dalam hidup anda, tetapi yang anda temui adalah, belum berhasilnya usaha anda.

Buat diri ini dan rakan-rakan, yakinlah, Allah menyediakan jalan terbaik buat kita, Allah menguji kita dengan berbagai ujian. Bersabar, berusaha dan jangan berputus asa dari rahmat Allah. InsyaAllah, anda akan menemui satu kemanisan di akhirnya. Berusaha, dan terus berusaha mencapai sesuatu perkara. Andai perkataan GAGAL di depan mata, itu cuma mainan semata-mata. Disebalik GAGAL itu, ada HASIL yang menanti jika diteruskan dengan USAHA.

p/s~Buat diri,buat semua, ayuh turut berusaha menjadi muslim terbaik. Semoga Allah Redha.

Untuk Wanita Cantik!



"Cantiknya awak! dengan rambut tersisir rapi, kemas berikat.
Awak pun cantik, dengan shawl kemas dan sanggul tinggi dibelakang.
Awak pun tak kurang menarik, dengan wangian dan solekan di muka. Pastinya ramai akan selesa dan suka.
Tapi, cantik lagi kalau awak berhias sekadar keperluan shj. Tutup aurat sesempurnanya. Risau2 jadi tabarruj kalau-kalau terlebih solekan dan hiasan itu. Dan pastinya, aurat tak tertutup akan diseksa."


“Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kecantikan”. 
(Hadis riwayat Muslim dan At-Tirmidzi).



Allah tak kata kita tidak perlu untuk menjaga penampilan mahupun tidak menjaga kekemasan di luar. Tapi Allah menetapkan syaratnya. Solekan biar berpada, berhias ada batasnya, Aurat perlu dijaga. Tapi Allah tak pernah menetapkan aurat perlu didedahkan utk nampak cantik luaran. Peliharalah aurat itu untuk yang berhak. Hilang serinya nanti andai dari sekarang ia dah pun menjadi tatapan umum.


Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al Ahzab : 59)

Baiklah, pastinya semua orang punyai impian ke suatu tempat yang menarik di dunia ini. Dan tanpa anda duga, anda diberikan jalan menuju ke tempat tersebut. Tetapi, anda harus membuat pilihan. Antara dua pilihan yang mana akan dipilih?

Jika anda diberi peluang untuk menuju tempat tersebut menaiki kenderaan yang cantik, yang besar, yang berkilat, dengan tayar sport rim, dengan aksesori-aksesori baru, dan kereta tersebut ada ada atap yang boleh dibuka. Tetapi, kereta cantik ini telah digunapakai dan disentuh oleh tangan-tangan pemandu yang ramai. Bertukar-tukar serta ke pelbagai tempat. Dalam kereta pula penuh dengan puntung rokok, dengan sampah makanan, dengan tisu bertebaran serta dengan kesan-kesan tertumpahnya air minuman. Dan kereta ini tiada jaminan untuk anda sampai ke destinasi anda, andai anda tidak menyediakan kelengkapan sepenuhnya untuk membaiki kerosakan yang ada.

Dan kereta yang kedua pula, adalah kereta yang anda tak mampu untuk menilai sebagai mana anda menilai kereta yang pertama. Ia disimpan rapi di bawah garaj besar, di tutup pula dengan kain tebal yang melindungi rupa bentuk kereta tersebut. Apa yang anda diberitahu Cuma, kereta itu sangat cantik, dalamnya bersih, kemas, tidak mudah digunakan sesuka hati, perlu meminta kebenaran terlebih dahulu! Kereta ini sangat dijaga rapi tuannya, jangankan kata dekat untuk melihat, melirik dari jauh pun pastinya akan menyebabkan anda akan dipandang pelik. Tetapi, kereta ini mampu untuk menjadi kenderaan anda menuju ke tempat yang diidamkan dengan kebolehan dan kecekapan anda memandunya.


Analogi mudah. Begitulah manusia, pastinya mempunyai cita-cita tinggi menuju syurga Allah. Anda diberikan dua pilihan, dengan mentransformasikan dua buah kereta tadi kepada wanita. Wanita pertama dengan  terdedah auratnya, cantik luarannya dan dalaman jauh terkeluar dari kiasan luaran. Manakala, wanita kedua yang tertutup rapi auratnya, yang ternyata jelas tahu batasan auratnya dan ikut perintah Allah S.W.T. 

Kecantikan luaran terbit dari keperibadian dalaman!

Yang mana akan kaum lelaki di luar sana pilih untuk dijadikan peneman jalan menuju syurga?
Anda menilai, Anda memilih, Anda memimpin.

Wahai wanita, ini bukan bermakna anda perlu berubah demi mendapatkan lelaki-lelaki soleh. 
Berubahlah kerana Allah, InsyaAllah, Allah akan berikan yang terbaik buat anda.