BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wanita, Jadilah Seperti Pohon Semalu

Pada suatu hari, Rasulullah s. a. w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r. a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.



Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita.

Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.



Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.

Ambillah pengajaran dari semalu walaupun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.

Wahai kaum hawa jadilah seperti semalu.

Dipetik Dari : LINK
Sumber : LINK

Sahabatku, Jalan Ini bukan Mudah.

Sahabat..

Aku mencintaimu kerna Rasulullah memerintahkan aku mencintaimu. Ya,tidak beriman seseorang itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.

Sahabatku yang sangat aku cintai..

Sungguh,jalan yang kita lalui ini bukan jalan yang indah dan mudah. Jalan ini matlamatnya cantik dan mengkagumkan.Tapi, sungguh tidak dapat aku janjikan kepadamu jalan ini akan senang kau lalui. Bukankah sejarah membuktikannya, haq yang ingin dibawa tentu sekali akan ditentang.

Sahabat..

Bukankah dalam kita berdiskusi, seringkali kita ingatkan pejuang yang telah lama terkorban dulu? Sheikh Hassan Al Banna,ditembak di pasar. Kerna apa? Kerna dia membawa yang haq! Syed Qutb,nyawanya tercabut menemui Rabb nya di tiang gantung? Kerna apa? Kerna dia membawa yang haq. Sheikh Ahmad Yassin dibunuh dengan misil yahudi laknatullah di hadapan masjid di subuh yang hening. Kerna apa? Kerna dia juga membawa yang haq!



Amanah ini untuk kita,sahabatku.Amanah ini untuk orang seperti kalian. Bukanlah aku ingin menggoyahkan semangat wajamu dan bahkan tidak sesekali. Tetapi sahabat,yang pasti ingin aku ingatkan janji Allah terhadap orang yang menolong agamanya, Allah pasti akan membantu urusannya. Aku ingin ingatkanmu kasih sayangNya dan rahmatNya terhadap hamba yang diredhai Nya. Bukankah senang nanti bila Allah tanyakan kepada kita: Apa yang kau gunakan masa mudamu dan aku dan kau serentak menjawab :Ya Tuhanku, Ya Rabb, masa mudaku dan masa tuaku adalah aku letakkan pada jalanMu. Adalah untuk Kau. Hanya untuk hidup dalam redhaMu walau kami ditekan. Untuk hidup dalam cinta kami kepada Mu.

Sahabat...

Peluru, tali gantung, pedang yang tajam, bahkan tekanan yang kuat dari pengalaman kehidupan sememangnya boleh melemahkan sesiapa sahaja. Tapi bukan engkau. Engkau dibina dengan tarbiyah. Dihiasi keindahan akhlak. Dilahirkan sebagai pendukung agama ini. Biar siapa sahaja pun engkau, biar apa sahaja kata orang,kau terus menguatkan langkah menyusur jalan in. Aku yakin,kerna kau sahabatku.

Sahabatku yang dikasihi..

Tidak dapat aku janjikan kesenangan dan kemewahan mengikut jalan ini. Tidak dapat aku berikan nama dan pangkat. Tapi akan ku tawarkan yang lebih baik dari segala itu. Akan kuberikan doaku semoga kau teguh dalam jalan ini .Akan ku bersama kau melangkah membawa haq dalam jalan ini. Akan aku luka dan berdarah bersama kau. Kerna kita saudara yang saling mencintai kerna Nya.

Tulus,

Sahabatmu tercinta

Saya Rela Jadi Isteri Kedua Awak.!




"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Fulanah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.

Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut.

Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.

"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Syazni tersenyum.

Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Syazni.
***************




Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!

Jika dirimu bakal seorang isteri…

Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!

Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…

Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri \mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!

Jika dirimu bakal seorang suami…

Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.

Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…

Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!


Sumber:LINK

Lupanya Aku Pada Sahabat Ku..



*Ini mungkin sebuah cerita rekaan yang mungkin benar-benar terjadi dialam realiti kepada manusia di sekeliling kita.*

Aku mempunyai sahabat baik sejak dari dulu lagi. Tetapi sejak akhir-akhir ini, aku bagaikan melupakan mereka.

Su, aku bagaikan melupakan kau. Tak macam dulu. Contohnya tadi, aku betul-betul lupa su. Pagi tu aku bangun lambat. Hampir pukul 8 pagi. Kelam kabut aku bersiap ke kelas. Mana tidaknya, malam tadi aku tidak tidur semalaman. Assignment bertimbun. Dengan test la, homework la, itu belum lagi presentation. Lecturer bagi assignment banyak-banyak. Diaorang ingat aku nie robot agaknya. Menyesal aku tak siapkan awal-awal assignment ni. Mintak maaf su, aku bukannya taknak jumpa kau, Tapi kau fahamlah keadaan aku. Bukan kau sorang je aku tak jumpa.

Zu pun dah lama aku tak jenguk. Kesian zu. Mintak maaf zu. Aku sekarang lambat balik kelas. Pukul satu lebih. Lepas kelas, aku lepak-lepak kejap. Itu pun kalau tak ada kelas petang. Kalau ada kelas petang, nasib la. Balik je, perut lapar, terus pergi makan di kafe. Lepas makan, aku terus tidu. Kadang-kadang sekejap, tetapi selalunya lama. Aku tahu zu, dulu aku selalu jumpa kau waktu-waktu macam ni. Tapi sekarang aku susah sangat nak jumpa kau. Aku busy lah zu.

As, kau sorang lagi kawan rapat aku dulu. Nampak macam aku dan mengabaikan kau je sekarang. Aku sibuk as. Petang-petang aku pergi library study. Kalau tidak pun, perbincangan waktu tu. Kadang-kadang ada meeting persatuan, mesti lama. Sejam dua. Itu belum lagi ditambah borak-borak kosong.

Mag, kau pun aku dah ingat-ingat lupa. Agaknya sebab kau ni ganjil kot. Yang lain tak ganjil macam kau. Macam-mana nak jumpa kau mag. Sekarang nie, latihan sukan memang tengah giat dijalankan. Aku ikut sekali. Balik pun dah lewat. Balik dari latihan, aku tidak terus mandi, nanti panau. Agak-agak penat hilang baru aku mandi.

Lepas mandi, kawan-kawan ajak keluar. Aku tahu, aku ada temujanji lain. Dengan Is, kawan baik aku sorang lagi. Tapi, kawan-kawan aku sudah menunggu. Kalau aku tak pergi, nanti aku dilabel sombong pula. Itu yang aku tidak mahu. Jadi aku pun pergilah. Lepas makan-makan, kami sembang-sembang pula. Lepas satu topik, topik lain pula keluar. Akhirnya dah lewat malam baru balik. Lepas tu, main game pula. Biasalah, aku suka main game. Aku main sampai mengantuk. Terus aku tertidur. Is, aku mintak maaf sangat.

Akhirnya, semua aku tak jumpa. Semu aku tinggalkan. Dari Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib, dan Isyak. Aku tak menjaga mereka semua. Sedangkan, merekalah 'sahabat' yang akan bersama aku di akhirat kelak.

Sahabat yang melupakanmu,
???

Kematian Itu Pasti

Ya Allah...Entri ini ditulis berikutan berita kematian bapa kawan ana... Ana terima berita kematian bapanya dari seorang sahabat pagi td. Innalillahi wa innailaihiraji'uun. Al-Fatihah buat arwah. Buat keluarga arwah pula,semoga tabah menghadapi ujian ini.

Kematian... Sesuatu yang pasti berlaku kpd semua orang. Sudah pun ditetapkan.. cuma kita shj tidak tahu.
Dan yang pastinya, kematian itu berlaku tidak mengira umur.. Bila-bila masa shj boleh terjadi pada kita atau orang yang kita sayangi.. Boleh jadi esok, boleh jadi hari ini, boleh jadi sbntar shj lagi, boleh jadi juga selepas entri ini habis dibaca atau ketika membacanya..!

Tetapi adakah kita bersedia menghadapi kematian itu? cukupkah amal kita selama ini? adakah amal kita itu diterima Allah?

Bagaiman pula dosa yang kita lakukan? Bagaimana dengan taubat kita? Adakah ia diterima? Ya Allah, Engkau terimalah taubat kami Ya Allah..



Mungkin bagi sesetngah kita merasakan, "aku sudah banyak berbuat baik, aku berada di jalan Allah. Pasti aku ke syurga". Tidak sama sekali.! Allah yang akan menilai setiap amalan kita. Dialah yang berhak menentukan 'gred' amalan kita. Dia jugalah yang menentukan keikhlasan hati kita melakukan sesuatu perkara.

Setiap dosa yang dilakukan juga akan dinilai. Walaupun ianya cuma sekecil zarah. Pasti dinilai.! Kita tidak akan terlepas dari setiap perbuatan yang kita lakukan. Semuanya akan dipertanggungjawabkan.!

"Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya" (Al-zalzalah 7 &8 )

Harta, wang, pangkat, darjat, kedudukan, kecantikan, perhiasan, bagi rijal mahupun nisa', semua itu tidak lagi berguna tatkala sakaratul maut datang menyapa. Hanya amal didunia yang dibawa bersama. Amal yang kita lakukan dengan segala nikmat kekayaan, kedudukan dan harta yang Allah berikan. Bukannya harta-harta duniawi itu yang menemankan kita ke alam barzakh nnt.

Untung bagi mereka yang dapat mendidik amanah yang Allah berikan kepada mereka sebaik mungkin iaitu anak-anak mereka. Beruntung dan bersyukurlah jika zuriat mereka menjadi dalam kalangan soleh dan solehah yang akan mendoakan mereka apabila mereka sudah tiada. Itu adalah harta dan juga amanah yang sangat bernilai dari Allah S.W.T.

"Apabila anak adam itu meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecualai 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Setiap yang hidup pastinya akan mati. Itu ketetapan sejak azali. Tidak ada sesiapa yang mampu melawannya mahupun lari daripada kematian. Selagi mana hayat dikandung badan,selagi itu,lakukanlah amal. Biarlah ia kerana Allah. Agar diterima setiap amalan kita itu. InsyaAllah.

"Ya Allah, Kau ampunilah dosa kami. Kau terimalah segala amalan kami. Kau jadikanlah kami diantara orang-orang yang beriman. Kau matikanlan kami dalam iman dan Islam, Ya Allah."

*Al-Fatihah buat ayah sahabat ana yang kembali ke rahmatullah jam 4 pg td. Mudah-mudahan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.


Katanya Kau Seorang Pejuang....



katanya kau seorang pejuang
tapi ikhtilat mu tidak dijaga

katanya kau seorang pejuang
tapi kau masih assabiyyah

katanya kau seorang pejuang
tapi ibadah mu dan amalanmu masih seperti dahulu

katanya kau seorang pejuang
kau masih layan tv , movie dan game dgn alasan nak release tension

katanya kau seorang pejuang
cinta dunia masih menempati hatimu berbanding cinta Allah dan rasulNYA

katanya kau seorang pejuang
kau sebok update isu semasa berbanding AL QURAN 1juz sehari

katanya kau seorang pejuang
kau xpun berdakwah

katanya kau seorang pejuang
kau masih layan muzik-muzik yang lagha




katanya kau seorang pejuang
tapi sering beralasan untuk dakwah dan jihad

katanya kau seorang pejuang
kau lebih bela jemaah berbanding islam

katanya kau seorang pejuang
kau masih ada karat jahiliyyah dihatimu tanpa usaha membuangnya

katanya kau seorang pejuang
mutabaah ibadahmu sangat menyedihkan

katanya kau seorang pejuang
ukhuwahmu hanya untuk kepentinganmu bukan kepentingan ummat

katanya kau seorang pejuang
kau sering tinggal QIAMULLAIL bebanding mengamalkannya

katanya kau seorang pejuang
berapa banyak ummat yang kau ziarah?

katanya kau seorang pejuang
kau sering menyalahkan orang lain berbanding diri sediri akibat lalai kerna tidak berdakwah

katanya kau seorang pejuang
kau lebih banyak berdakyah berbanding berdakwah


katanya kau seorang pejuang
tapi masa rehatmu lebih banyak berbanding masa berdakwah


katanya kau seorang pejuang
tapi untuk berinfaq saja kau sudah kikir


katanya kau seorang pejuang
hidupmu masih senang lenang dan mewah


katanya kau seorang pejuang
kau sudah menganggap dirimu mulia sedangkan kau harus lebih tawadhuk


katanya kau seorang pejuang
kau jarang sekali menangis untuk bertaubat


katanya kau seorang pejuang
kau masih seronok dengan maksiat di sekitarmu


katanya kau seorang pejuang
kau tidak rasa apa-apa bila berbuat maksiat


katanya kau seorang pejuang
kau masih malas mencari ilmu agamamu


katanya kau seorang pejuang
kau jarang sekali muhasabah dirimu sedang sering menasihati orang lain


katanya kau seorang pejuang
kau masih berpakaian tidak senonoh


katanya kau seorang pejuang
namun akhlakmu tidak ada apa yang berubah


katanya kau seorang pejuang
namun kau sering lalai dan leka berbanding insaf dan sedih


katanya kau seorang pejuang
kau lebih sibuk bersama keluarga berbanding bersama ummat


katanya kau seorang pejuang
kau masih pentingkan dirimu berbanding kepentingan ummat



katanya kau seorang pejuang
kau masih ragu dengan apa yangkau infakkan


katanya kau seorang pejuang
hafalanmu saja masih jauh lagi


katanya kau seorang pejuang
kau masih terasa asing dengan pekataan BERDAKWAH apatah lagi melakukannya

katanya kau seorang pejuang
kau masih mengumpat dan mengeji orang

katanya kau seorang pejuang
kau masih berbelah bagi antara dakwah dan dunia

katanya kau seorang pejuang
kau masih seperti dahulu


katanya kau seorang pejuang..............

Portal Islam Bertambah Lagi :)

*Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang*


PORTAL ISLAM


Murabbi.Net, salah satu lagi portal Islam yang ada. Alhamdulillah, bertambah lagi portal-portal Islam kini. Murabbi.net memberi perkongsian Ilmu, membuka forum bersoal jawab, berkongsi pendapat dan sebagainya.

Mari kita meramaikan ahli usrah Murabbi. :)




Cinta 3 Insan kepada Rasulullah S.A.W


Pasti kita kenal dengan 3 orang yang berkait rapat dengan Rasulullah S.A.W. iaitu Abu Talib, Abu Lahab dan Abu Bakar as-Siddiq R.A. Abu Lahab dan Abu Talib merupakan bapa saudara Rasulullah S.A.W manakala Abu Bakar as-Siddiq merupakan sahabat Rasulullah. Bagaimana cinta mereka terhadap Rasulullah?


Abu Talib : merupakan bapa saudara Baginda yang paling mencintai Rasulullah. Abu Talib pernah memelihara Baginda setelah kematian ibu bapa Baginda. Abu Talib juga pernah mempertahankan Rasulullah dari ancaman kafir semasa Baginda menyebarkan dakwah Islam. Sayangnya, Abu Talib tidak mengikuti ajaran yang dibawa Baginda.

Abu Lahab : Beliau merupakan bapa saudara Rasulullah S.A.W. Namun Abu Lahab menentang Rasulullah ketika Baginda menyebarkan Islam. Abu Lahab juga menjadi musuh ketat Islam.

Abu Bakar as-Siddiq R.A : Beliau merupakan sahabat Rasulullah dan juga Khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah. Beliau beriman dengan Rasulullah S.A.W. Beliau mempercayai Rasulullah walaupun Rasulullah dituduh berdusta sehinggakan mendapat gelaran as-Siddiq.

Jadi, bagaimana pula cinta kita terhadap Rasulullah S.A.W?

Jika kita tidak pernah menghina Rasulullah serta sunnah Baginda, namun kita tidak mengamal dan ikut ajaran Baginda, samalah kita seperti Abu Talib.

Jika kita menolak sunnah baginda, samalah kita seperti Abu Lahab.

Tetapi adakah cinta kita sehebat cinta Abu Bakar as-Siddid R.A kepada Rasulullah S.A.W?

Allah Ta'ala berfirman di dalam Al-Quran agar kita mengikuti sunnah Rasulullah yang bermaksud :

"Apa sahaja yang diberikan oleh Rasul kepadamu semua, maka ambillah itu (lakukanlah) dan apa sahaja yang dilarangnya, maka hentikanlah itu" (Al-Hasyr:7)

"Dia (Muhammad) itu tidaklah berkata-kata dengan kemahuannya sendiri. Ini tiada lain kecuali wahyu yang diwahyukan kepadanya" (An-Najm:3-4)

"Katakanlah (hai Muhammad), jikalau engkau semua mencintai Allah, maka ikutilah aku, maka Allah tentu mencintai engkau semua dan mengampuni dosa-dosamu" (Ali-Imran:31)

Piala Dunia VS Kekejaman Israel






Piala dunia telah kembali setelah 4 tahun menghilangkan diri. Sudah pasti semua peminat tidak ketinggalan menghadapi 'demam cawan dunia' ini. Tetapi, dalam masa yang sama, rakyat Palestine tetap terseksa. Baru-baru ini dunia digemparkan dengan kekejaman tentera Israel apabila kapal bantuan ke Gaza, Mavi Marvara diserang. Hampir seluruh rakyat dunia bangkit menunjukkan ketidakpuasan hati mereka atas tindakan tidak berperikemanusiaan Israel.

Namun, semua itu hanya seketika. Tatkala ini, semua rakyat dunia khayal seketika dan memberikan tumpuan kepada piala dunia. Saudara Islam kita di Palestine dilupakan. Mana perginya semangat dan rasa kemanusian kita terhadap saudara yang terus diseksa? Mana perginya kemarahan yang bergelora sebelum ini?





Inilah kesan world cup yang baru sahaja bermula. Pasti ramai yang tidak ketinggalan meyaksikannya. Sanggup berjaga malam untuk menonton piala dunia. Tidak salah semua itu. Tetapi apa salahnya jika kita ambil sedikit masa, bangun solat tahajjud. Solat sunat sambil mendoakan saudara kita di Palestine. Tidak lama masa diperlukan jika dibandingkan dengan 1 perlawanan lengkap bola sepak.

Alangkah bagus kalau seramai yang menyokong piala dunia itulah seramai yang bangkit menentang Israel. Kita sendiri sebagai umat Islam perlu bangkit dan bersatu mempertahankan agama kita. Bukan mengharapkan sesiapa atau mana-mana pihak. Kelekaan kita terhadap piala dunia ini jugalah yang boleh memberi ruang untuk Yahudi Laknatullah itu terus menzalimi saudara kita. Sedangkan kita, terus hanyut dengan dunia bola.

Bola tetap bola. Tiada salahnya menonton. Tetapi saudara kita janganlah kita dilupakan. Mereka memerlukan kita. Islam perlu ditegakkan dan terus dipertahankan. :)

Kenapa Perlu 'PEDULISM'???

Umma-United, salah satu lagi laman web sosial yang ada. Laman web sosial ini adalah untuk networking umat Islam. Jalan-jalan di Umma-United, ana terjumpa sesuatu yang ana rasa boleh dikongsi untuk amek iktibar. Jom kita kongsi.


Kenapa Perlu 'PEDULISM'???


Sepasang suami dan isteri petani pulang kerumah setelah berbelanja. Ketika mereka membuka barang belanjaan, seekor tikus memperhatikan gelagat sambil menggumam "hmmm...makanan apa lagi yang dibawa mereka dari pasar??"

Ternyata yang dibeli oleh petani hari itu adalah perangkap tikus. Sang tikus naik panik buka
n kepalang.

Ia bergegas lari ke sarang dan bertempik, "Ada perangkap tikus di rumah... di rumah sekarang ada perangkap tikus...."

Ia pun mengadu kepada ayam dan bert
eriak, "Ada perangkat tikus!" Sang Ayam berkata, " Tuan Tikus! Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku."

Sang Tikus lalu pergi menemui seekor Kambing sambil berteriak seperti tadi. Sang Kambing pun jawab selamba, "Aku pun turut bersimpati... tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun tak tak ada kena-mengena
dengan aku. "

Tikus lalu menemui Lembu. Ia mendapat jawapan sama. "Maafkan aku. Tapi perangkap tikus tidak berbahaya bua
t aku sama sekali. Takkanlah sebesar aku ni boleh masuk perangkap tikus. "

Dengan rasa kecewa ia pun berlari ke hutan menemui Ular. Sang ular berkata "Elehh engkau
ni... Perangkap Tikus yang sekecil tak kan la nak membahayakan aku."

Akhirnya Sang Tikus kembali ke rumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang
diri.

Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar sua
ra berdetak perangkap tikusnya berbunyi menandakan umpan dah mengena. Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa. Ekor ular yang terperangkap membuat ular semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah.

Walaupun si Suami sempat membunuh ula
r berbisa tersebut, isterinya tidak sempat diselamatkan. Si suami pun membawa isterinya ke rumah sakit. Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh pulang namun masih demam.

Isterinya lalu minta dibuatkan sup cakar ayam oleh suaminya kerana percaya sup cakar ayam boleh mengura
ngkan demam. Tanpa berfikir panjang si Suami pun dengan segera menyembelih ayamnya untuk dapat cakar buat sup.

Beberapa hari kemudian sakitnya tidak kunjung reda. Seorang teman menyarankan untuk makan hati kambing. Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya. Masih juga isterinya tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia.
Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un.

Banyak sungguh orang datang melawat jenazahnya. Kerana rasa sayang suami pada isterinya, tak sampai hati pula dia melihat orang ramai tak dijamu apa-apa.
Tanpa berfikir panjang dia pun menyembelih lembunya untuk memberi makan orang-orang yang berziarah.

Dari kejauhan...Sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan. Beberapa hari kemudian ia melihat Perangkap Tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi.

MORAL: SUATU HARI... KETIKA ANDA MENDENGAR SESEORANG DALAM KESUSAHAN DAN MENGIRA ITU BUKAN URUSAN ANDA... FIKIRKANLAH SEKALI LAGI.


Iman Laksana Pokok dengan Akarnya

Berjalan melihat dunia. Macam-macam yang kita boleh tengok. Antaranya, kita boleh lihat pokok-pokok ciptaan Ilahi. Ada yang tumbuh rendang, berbuah dengan lebat, dan daun yang berbagai-bagai bentuk. Begitu juga sebaliknya. Ada juga yang tidak berbuah, kelihatan ranting-rantingnya sahaja, serta ada juga yang mati.

Bagaimana dengan kita? Apa khabar pokok yang kita tanam? Pokok ape pula yang kita tanam ni..

Pokok yang akarnya adalah aqidah kita. Batangya adalah ibadah asas kita. Daun-daunnya adalah ibadah sunat kita. Buah-buahannya adalah akhlak kita.



Akidah pula bermaksud kepercayaan atau keimanan kepada hakikat-hakikat atau nilai-nilai yang mutlak, yang tetap dan kekal, yang pasti dan hakiki, yang kudus dan suci seperti yang diwajibkan oleh syara' iaitu beriman kepada Allah swt, rukun-rukun Iman, rukun-rukun Islam dan perkara-perkara ghaibiyyat.
Keimanan dan keyakinan yang tidak dapat dipesongkan ataupun dipatahkan oleh anasir-anasir luar. Aqidah inilah yang menjadi tunjang utama pokok kita itu.

Batang dan daunnya pula terdiri daripada ibadah asas serta ibadah sunat kita. Solat lima waktu, ibadah haji serta ibadah wajib yang lain dan ditambahkan lagi dengan ibadah sunat yang sentiasa dilakukan, maka semakin rendanglah pokok kita. Dilengkapi dengan daunnya yang cantik dan digagahi dengan batangnya yang kukuh.

Secara semulajadinya, ramai yang sukakan buah-buahan yang manis, elok serta sedap. Bagaimana pula untuk memastikan pohon yang kita tanam itu berbuah manis? Akhlaklah yang menetukannya. Akhlak dan budi pekerti yang elok menjadi perhiasan kita. Umpama buah-buahan di pohon-pohon yang rendang.

Cuba lihat luar seketika. Pokok-pokok yang rendang dan berbuah sentiasa menjadi tumpuan. Tumpuan manusia untuk berehat dah berteduh dibawahnya. Tumpuan burung-burung untuk singgah serta membuat sarang. Buah-buahannya juga menjadi hidangan manusia dan binatang. Pokok seperti ini banyak memberi manfaat kepada makhluk Allah yang lain.

Sama jugalah kita sebagai manusia. Manusia yang baik dalah yang memberi manfaat kepada orang lain. Dengan iman dan akhlak yang baik, kita mampu membantu orang lain. Jadi,jagalah pokok yang kita ada itu sebaiknya. Iman itu laksana pokok dengan akarnya. Jika baik imannya, kuatlah akarnya, cantiklah pokoknya.

Ku Berfikir




Ku Berfikir
Lelaki pada akhir zaman ini
Payah ku temui yang benar-benar sibuk
Dengan urusan baiki diri
Yang ada kini hanya sibuk dengan urusan dunia semata
Walau hanya diketahui dunia ini hanya penuh tipu daya

Ku Berfikir
Lelaki pada akhir zaman ini
Susah untukku temui
Yang benar-benar takut pada Ilahi
Yang mendambakan kasih Ilahi
Yang ada hanya mengharapkan kasih insani
Yang melalaikan orang dan diri sendiri

Ku Berfikir
Lelaki pada akhir zaman ini
Sukar ku temui ahli profesional yang bertaqwa
Yang benar-benar meletakkan Islam dalam jiwa
Menggunakan profesionnya sebagai matlamat ke akhirat sana
Majoritinya lalai lagi leka
Yang hidupnya lebih berat ke barat
Menyebabkan amal ibadah terasa berat

Ku Berfikir
Lelaki pada akhir zaman ini
Payah ku temui
Yang sentiasa bergelumang dengan majlis ilmu
Sanggup bersusah payah untuk memahami ilmu
Yang ada kini hanya berbangga dengan ijazah
Tetapi ilmu fardu ainnya kosong belaka

Ku Berfikir
Lelaki pada akhir zaman ini
Susah untukku temui
Ynag suka berbicara tentang akhirat
Syahid sebagai matlamat
Mensyiarkan Islam dan menjunjung akhirat
Yang ada cuma menghidupkan ajaran barat
Bahkan melupakan akhirat

Ku Berfikir
Lelaki pada akhir zaman ini
Sukar untukku temui
Yang sentiasa bermunajat dan berzikir
Bertafakur dan berfikir
Sunnah Rasulullah cuba dipahat dan diukir

Ku Terus Berfikir
Masih adakah lagi lelaki pada akhir zaman ini
Yang menjadikan dunia sebagai Ladang akhiratnya
.....

Zina Berleluasa (Honeymoon sblm masanya)

Segala puji hanya milik Allah, Tuhan sekalian alam. Maha Suci Allah yang menciptakan kami ummat manusia, yang punyai akal, punyai emosi juga nafsu. Terima kasih Allah, dan ampunkanlah dosa-dosa kami Ya Allah, sungguh kami makhluk yang mudah benar lupa dan alpa. Lalai dalam melaksanakan amanah dan suruhan. Mudah pula membuat kerosakan dan melanggar suruhan-Mu. Astaghfirullahalazim...


Dewasa ini, bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir setiap hari kita dijamukan dengan berita yang menyedihkan, kes buang bayi. Bunuh bayi. Campak bayi. Bakar bayi. Tanam bayi. 'Flush' bayi dan macam-macam hal lagi yang tidak terfikir dek akal.

'Hebatnya' akal ciptaan Allah namun mengapa manusia sering menyalahgunakannya?

Mana perikemanusiaan?

Mana rasa takut dan gentar kepada hukuman-hukuman Tuhan?

Mana perasaan belas?

Allahurabbi.

Mungkin bukan perkara baru. Buang bayi sudah lama sinonim dengan masyarakat kita. Namun apa yang kian menyedihkan adalah kerana kebelakangan ini, masalah keruntuhan moral ini kian merebak dan menular ke dalam masyarakat kita, ibarat barah yang tidak mampu dikawal, menyelinap dan melibatkan pelbagai lapisan umur.

Menakutkan. Banyak kes buang bayi melibatkan remaja bawah umur. Apatah lagi mengandung anak luar nikah. Astaghfirullahalazim. Apa sudah jadi. Apa nak jadi?

Mana salahnya, mana silapnya?

Adakah kerana silap kita sebagai masyarakat yang tidak cakna dan bersikap tidak ambil peduli? Merujuk kes kanak-kanak yang didera sampai mati. Bukankah ibunya bersekedudukan dengan kekasihnya ketika suaminya dipenjara? Apakah masyarakat terutama ibu bapa kepada wanita tersebut tidak pernah ambil kisah? Bersikap tidak peduli dan lepas tangan? Itu baru satu contoh, sedangkan disekeliling kita, banyak lagi kes-kes yang lebih kurang serupa. Apa peranan kita sebagai masyarakat dalam usaha membanteras gejala masalah sosial yang makin memburuk?

Remaja (kanak-kanak) berusia semuda 13 tahun juga buang anak!

Bayangkan, adik-adik kita di rumah, anak-anak kita yang berbaju kurung bertudung putih ke sekolah, sopan dan manis sekali, tapi hakikatnya mereka terdedah dengan pelbagai kemungkinan. Jangan terlalu yakin bahawa anak-anak dan adik-adik kita itu kekal selamanya bebas dari anasir-anasir jahat? Jangan terlalu berpuas hati dan percaya kepada mereka bulat-bulat.


Kadangkala, perasaan ingin tahu, curiga dan syak wasangka itu perlu. Luangkan masa, siasat dengan siapa anak kita berkawan. Periksa beg sekolah anak-anak. Jika ada
handphone tengok senarai nama dalam telefon anak-anak. Periksa apa ada dalam hanphone anak-anak. Selidik ada apa dalam bilik anak-anak. Itu tanggungjawab ibu dan bapa, sebagai usaha mencegah sebarang kemungkinan buruk yang mungkin terjadi. Tiada siapa yang tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan, oleh itu, langkah pencegahan perlu dilakukan dan setiap dari kita harus sentiasa berhati-hati.

Mungkin hari ini kita bertudung labuh, tidak pernah bergaul dengan lelaki apatah lagi berzina. Tapi tahukah anda? Bukan perkara mustahil, malahan di IPTA juga kita sering 'dikejutkan' dengan kes gadis bertudung labuh ditangkap berkhalwat dengan teman lelaki. Na'uuzubillah.


Bukan niat saya ingin memburuk-burukkan mereka yang bertudung labuh, atau berkopiah (baik budi pekerti). Namun apa yang saya ingin tekankan adalah, kita manusia mudah terpedaya dengan pujukan dan hasutan syaitan dan nafsu jahat. Jangan mudah berpuas hati dengan amalan yang kita ada. Jangan terlalu yakin dengan 'tahap keimanan' kita. Paras keimanan kita sentiasa berubah-ubah, ada naik dan turun. Mungkin hari ini kita terpelihara oleh-Nya dari sebarang kemungkaran tapi esok lusa siapa tahu? Mungkin juga kita menjadi hamba nafsu dan syaitan. Na'uuzubillah.


Oleh yang demikian. Teruskanlah dan kekalkanlah. Sentiasa berhati-hati dan menjaga diri. Jangan biarkan diri terdedah apatah lagi terjebak dalam gejala zina. Perbuatan haram yang dilarang oleh Allah pastinya bersebab. Namun begitu, kita manusia sering merasa 'lazat' ketika memilih yang haram.

Mengapa dan kenapa terjadi begitu?

Apakah kerana ketika melakukan kemungkaran syaitan ikut sama?

Bergembira dan bersorak sorai?

Jadi dengan itulah kenikmatannya berganda-ganda?

Bahagiakah hati jika menjadi hamba dan sahabat syaitan?

Bahagiakah jiwa yang dicipta oleh Sang Pencipta dengan kenikmatan yang sementara itu?

Jangan dekati zina. Ibarat menagih dadah, sekali terkena menjadi gian dan ketagih. Mahu lagi dan lagi, sampai bila? Sedangkan mati bila-bila masa saja akan datang berkunjung. Layakkah kita mencium haruman syurga apatah lagi menjadi penghuni syurga jika kita mati dalam kemungkaran? Cukup kuatkah kita untuk diseksa dan diazab di neraka? Na'uuzubillah.

Bersyukur jika kita tidak pernah terjebak dengan zina. Dan seandainya kita sudah atau telah terlibat, segerakanlah bertaubat. Jangan bertangguh. Mohon ampun dan kemaafan dari-Nya.


Ramai orang (merujuk kepada
thread-thread yang dibuka di iluvislam.com) risau dan runsing memikirkan masa depan, siapa yang sudi mengambil diri sebagai isteri. Bagaimana penerimaan orang akibat daripada keterlanjurannya. Dan ramai yang lupa, hidup di dunia cuma sementara. Akhirat jua yang kekal abadi.

Apalah sangat pandangan orang jika hendak dibandingkan dengan pandangan Allah? Bertaubatlah, mohon ampun dari Allah. Selebihnya, serahkan kepada Dia untuk tentukan jalan hidup kita. Moga-moga ada sinar bahagia menanti di hadapan, tapi usah terlalu berharap. Andai kebahagiaan selamanya tidak menjadi milik kita di dunia, berbaik sangka, mungkin Allah ingin terus menguji dan mungkin juga Allah sedang 'menyucikan' kita dari dosa-dosa silam. Biarlah sengsara di dunia yang sementara, asalkan di negeri abadi kelak, syurga menjadi tempat kita mengutip bahagia.


Mari. Sebagai mereka yang cakna dan peduli tentang nasib ummah, masyarakat sekeliling kita. Ayuh. Kita berganding bahu, membantu selagi termampu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keburukan dan kewajipan untuk menjauhi dan mencegah zina.

Jauhilah perbuatan 'honeymoon' sebelum tiba masanya. Ketahuilah, persetubuhan antara lelaki dan wanita juga merupakan antara nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya. Namun janganlah kita kotorinya dengan memilih untuk berzina. Bersabar dan pelihara diri dan kemaluan. Tunggu masa yang betul untuk melunaskannya. Yakni selepas nikah.

Jangan mengambil mudah soal dosa dan pahala kerana akibatnya buruk, hanya Allah yang lebih tahu. Jangan beri peluang kepada syaitan untuk menggoda dan menghasut kita melakukan kemungkaran. Sesungguhnya syaitan itu benar-benar licik dan berpengalaman dalam menyesatkan umat manusia. Marilah kita saling mengingatkan.. Moga Allah melindungi kita dan seluruh muslimin dan muslimat.

Ingat mati. Ingat mati. Ingat mati.

Dunia hanya sementara. Mati itu pasti. Akhirat itu kekal abadi.

Nikmat..bersyukur atau mengeluh?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah.....

Diberi kesempatan umur yang panjang dan kesihatan yang agak baik. Antara nikmat yang diberikan Allah kepada hambaNya. Bersyukurlah dengan apa yang dikurniakan kepada kita pada hari ini dan sebelumnya. Belum tentu kita ada esok untuk mensyukurinya. Allah telah berfirman bahawa nikmat yang dikurniakanNya memang tidak terhitung. Tetapi, kita sebagai hambaNya, adakah kita mensyukuri nikmat-nikmat itu?


"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak
dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(An-Nahl: 18)




















Kita sering mendengan pelagai keluhan dan kita sendiri juga mengeluh.

"Bising betullah mesin ni. Cubalah senyap sikit."

"Penat je beli baju ni bulan lepas. Dah tak muat."

Ada sahaja yang kurang bagi kita. Ada sahaja yang kita nak rungutkan. Tidak pernah cukup dengan apa yang kita ada. Lumrah manusia, merungut dah tidak berpuas hati dengan apa yang diperolehi. Mari kita sama-sama cuba fikirkan apa yang terjadi dan apa yang ada pada kita.
  • Kita merungut dengar bunyi bising hari-hari,memang geram,sakit hati. Itu sebenarnya menandakan kita masih lagi mampu mendengar.
  • Kita merungut pakaian yang kita pakai sudah ketat,kecik,tak muat. tapi tidakkah kita bersyukur, baju tu dah tak muat kerana kita sebenranya cukup makan. Allah bagi rezeki melimpah ruah.
  • Kita merungut untuk rumah yang kita kena bersihkan,mop lantai,lap tingkap,sapu rumah dan sebagainya hari-hari. Tapi bersyukurlah kerana itu menandakan kita masih lagi mempunyai tempat tinggal untuk berlindung dari hujandan panas.
  • Kita mengeluh otot-otot kita kejang, kita sakit-sakit badan buat kerja hari-hari. Tetapi, itu sebenarnya menandakan kita masih mempunyai kudrat untuk berkerja kuat mencari rezeki.
  • Kita merungut untuk keletah anak-anak yang tidak menetu dirumah. Kadang-kadang kita rimas. Tetapi besyukurlah,sekurang-kurangnya mereka berada di rumah, bukan di jalanan berpeleseran.
  • Kita mengeluh kerana tempat letak kereta ke lif yang mungkin agak jauh.tetapi sebenarnya kita perlu bersyukur kerana diberi nikmat masih mampu berjalan.
  • Kita mengeluh untuk timbunan pinggan mangkuk,pakaian yang perlu dicuci. Tetapi,itu menandakan kita sebenarnya memiliki semua itu untuk digunakan.
  • Untuk pagi-pagi yang selalu dikejutkan dengan jam loceng, kita merungut kemalasan. Tetapi Itu menandakan kita sebenarnya diberi kesempatan untuk mengharungi hari sekali lagi.
Ya Allah, sungguh banyak nikmat yang Kau berikan kepada kami. Tetapi mungkin kita yang tidak menyedarinya. Kita yang tidak mensyukurinya. Kita yang tidak pernah berpuas hati dengan nikmat itu.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, " Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat"
(Ibrahim:7)

Dan sebenarnya, Allah menguji kita dengan pelbagai cara. Setiap nikmat yang Allah berikan itu juga adalah ujian bagi kita. Pancaindera, rumah, pakaian, keluarga, kewangan, mahupun pekerjaan adalah sebahagian nikmat yang kita perolehi seharian. Ada diantara kita yang sedar dan tahu,tetapi ada juga yang tidak.

Maka apabila manusia ditimpa bencana dia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan nikmat Kami kepadanya, dia berkata, "Sesungguhnya aku diberi nikmat ini hanyalah kerana kepintaranku". Sebenarnya, itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya.
( Az-Zumar:49)

Sebagai manusia biasa, memang lumrah kita sentiasa tidak berpuas hati dengan apa yang kita ada. Sentiasa merungut dan mengeluh, sedangkan Allah lebih mengetahui apa yang dirancangNya. Beryukurlah kita dengan nikmat yang dikurniakan. Tidak semua nikmat yang kita terima, orang lain juga terima. Tidak semua nikmat itu akan kita perolehi lagi dan Allah boleh menrik nikmat itu bila-bila masa sahaja.

Jika tidak dapat apa yang kita suka,belajarlah menerima apa yang kita dapat, dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada. :)