BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang, Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang

Detik waktu kelahiran seorang bayi
dihiasi tangis Nyaring berkumandang
menyapa telinga ibu, lalu melonjak hati ibu
penawar sakit dan lesu

Lalu bermulalah sebuah kehidupann
yang bakal mewarnai bumi
berdakwatkan air mata
Hidup dimulakan oleh sebuah tangisan
dicelahi oleh tangisan
diakhiri dengan tangisan
Air mata manusia sentiasa dalam dua
yang menguntungkan atau merugikan

Sabda Rasulullah SAW:
“Dua titisan air yang Allah cinta, darah para syuhada’ dan air mata kerana takutkan Allah.”

Ibnu Ataillah, seorang ahli sufi dan makrifah telah berkata:
“Tangisan seorang pendosa lebih Allah cintai daripada tasbih para wali.”

Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada abid yang berangan-angan
di syurga mana kelak ia akan ditempatkan

Ahli-ahli sufi sering mengingatkan :
“Kejahatan yang  diiringi oleh rasa sedih, lebih Allah sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.”

Air mata ada kalanya penyubur hati, penawar duka
Ada kalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan, menyesak kehidupan
Penghuni Syuga adalah mereka, yang paling banyak dukacitanya di dunia

Nabi bersabda:
“Barangsiapa gembira di dunia akan berdukacita di akhirat. Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia, akan gembira di akhirat.”

Nabi bersabda lagi:
“Jika kamu tahu apa yang akan aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.”

Seorang hukama pernah bersyair:
“Aku  hairan dan aku pelik, melihat orang ketawa. kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan,
lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan.”

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, takut-takut tidak diterima. sedangkan kita masih ketawa walaupun amalan tiada
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Siapa yang buat dosa dalam ketawa, akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan
menangis.”

Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang
Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang

“Alangkah sempitnya kuburku,” ratap seorang abid.
“Alangkah sedikitnya hartaku,” keluh seorang hartawan.

Kita gembira yang kita idam-idamkan tercapai
Kita menangis kalau yang kita cita-citakan terbarai
Nikmat disambut ria, Ujian menjemput duka

Namun Allah SWT telah berfirman:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, Pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” [Surah Al-Baqarah: 216]

Menangislah wahai diri, agar senyummu banyak di kemudian hari
Kerana nasibmu belum pasti, di sana nanti lembaran sejarahmu dibuka satu persatu

Menangislah seperti Sayidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata:
“Kalau semua manusia masuk ke syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu,”

Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya: “Kenapakah engkau menangis?”
Jawabnya: “Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar ke medan perang.”

Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan
Lalu diharamkan matanya dari memandang ke langit seumur hidupnya.

Ibnu Masud r.a. berkata:
“Seorang yang mengerti Al-Quran dikenal waktu malam ketika orang lain tidur,
dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa,
sedihnya ketika orang lain sedang gembira, dan tangisnya di waktu orang lain tertawa,
diamnya di waktu orang lain bicara,
khusyuk di waktu orang lain berbangga.
Seharusnya orang yang mengerti Al-Quran itu tenang,
lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras,
kejam, lalai, bersuara keras dan marah.”

Tanyailah orang-orang soleh, mengapa mereka yang banyak menangis
Mereka akan menjawab:
“Bagaimana hendak gembira Sedangkan mati itu di belakang kami,
kubur di hadapan, Qiamat itu janjian kami, Neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah Allah.”

Mereka menangis di sini
Sebelum menangis di sana
Dan kita bagaimana?
menangislah kerana kita tidak menangis seperti mereka menangis


sumber : http://genta-rasa.com/2013/10/22/belum-tibakah-masanya-untuk-kau-menangis/

.: Allah ciptakan air mata sebagai peneman kita, kerana Allah tahu keperluan hambaNya. Menangislah, kerana air mata itu nikmat dariNya :.

0 nasihat: