Renung-renungkan dan selamat beramal...
Baca kisah mengenai 3 panggilan Allah kepada hambaNya ini. Semoga mendapat pengajaran dan manfaat darinya.
Saat itu, Dhuha, hari terakhir aku di Masjid Nabawi untuk menuju Mekah....... ..aku bertanya pada Ibu.
'Ibu, kataku, ada cerita apa yang menarik dengan Umrah....?'
Maklumlah, ini pertama kali aku ber Umrah.
Dan Ibu, memberikan penerangannya...
Ibu adalah pemilik Maknah Tour Travel dimana saya telah menyertai rombongan Umrah pada bulan July 2007 yang lalu.
Kebetulan umrahku dimulai di Madinah dulu selama 4 hari, baru ke Mekah.
Tujuannya adalah mendapatkan saat Malam Jumat di depan Kaabah.
Pada kesempatan itu aku untuk bertanya tentang Umrah kepada ibu.
Ibu berkata...'Hassan, Allah hanya memanggil kita 3 kali saja seumur hidup...'
Keningku berkerut....
'Sedikit sekali Allah memanggil kita..?'
Ibu tersenyum... 'Yer, tahu tak apakah 3 panggilan itu...?'
Aku menggelengkan kepala.
'Panggilan pertama adalah Azan', ujar Ibu...
'Itu adalah panggilan Allah yang pertama. Panggilan ini sangat jelas terdengar di telinga kita, sangat kuat terdengar.
Ketika kita solat, sesungguhnya kita menjawab panggilan Allah. Tetapi Allah masih fleksibel, Dia tidak 'cepat marah' akan sikap kita.
Kadang kita terlambat, bahkan tidak solat sama sekali kerana malas. Allah tidak marah seketika. Dia masih memberikan rahmatNya, masih memberikan kebahagiaan bagi hambaNya, samaada hambaNya itu menjawab panggilan Azan-Nya atau tidak.
Allah hanya akan membalas hambaNya pada hari kebangkitan nanti'.
Saya terpaku.... .mata saya berkaca-kaca. Terbayang saya masih melambat-lambatkan solat kerana meeting lah, mengajar lah, dan lain lain. Astaghfirullah...
Ibu terus berbicara...
'Hassan, Panggilan yang kedua adalah panggilan Umrah/Haji.
Panggilan ini bersifat halus. Allah memanggil hamba-hambaNya dengan panggilan yang halus dan sifatnya 'bergiliran'.
Hamba yang satu mendapatkan kesempatan yang berbeza dengan hamba yang lain. Jalannya bermacam-macam. Yang tidak ada duit tiba-tiba dapat duit dan dapat pergi. Yang kaya raya duit bertimbun-timbun, tapi tak ada kesempatan pula hendak pergi. Ada yang memang merancang dan terkabul. Tapi ada juga yang sebaliknya.
Ketika kita memasang niat Haji / Umrah, berpakaian Ihram dan melafazkan 'Labaikallahummalabbaik/ Umrotan', sesungguhnya kita saat itu menjawab panggilan Allah yang kedua. Saat itu kita merasa bahagia, kerana panggilan Allah sudah kita jawab, meskipun panggilan itu halus sekali. Allah berkata, laksanakan Haji / Umrah bagi yang mampu'.
Mata saya semakin berkaca-kaca. Subhanallah. Saya datang menjawab panggilan Allah lebih cepat dari yang saya rancangkan. Alhamdulillah.
'Dan panggilan ke-3′, terang ibu lagi, 'adalah KEMATIAN.
Panggilan ini Allah tidak memberikan sebarang tanda tanda secara langsung, dan kita tidak mampu menjawab dengan lisan dan gerakan. Kita hanya adpat menjawabnya dengan amal soleh. Kerana itu Hassan, manfaatkan waktumu sebaik-baiknya.
Jawablah 3 panggilan Allah dengan TAQWA.
Insya Allah syurga adalah balasan untukmu...'
Ibu mematikan bicara sekadar itu. Aku termanggu...
Mata saya basah di dalam Masjid Nabawi , saya sujud bertaubat pada Allah kerana kelalaian saya dalam menjawab panggilanNya. ....
Kala itu hati saya makin yakin akan kebesaranNya, kasih sayangNya dan dengan semangat menyala-nyala, saya mengenakan baju Ihram dan berniat....
Aku menjawab panggilan UmrahMu, ya Allah, Tuhan Semesta Alam.
3 panggilan Allah kepada hambaNya
Wanita, Jadilah Seperti Pohon Semalu
Pada suatu hari, Rasulullah s. a. w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r. a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.
Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita.
Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.
Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).
Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.
Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.
Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.
Ambillah pengajaran dari semalu walaupun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.
Wahai kaum hawa jadilah seperti semalu.
Dipetik Dari : LINK
Sumber : LINK
Sahabatku, Jalan Ini bukan Mudah.
Sahabat..
Aku mencintaimu kerna Rasulullah memerintahkan aku mencintaimu. Ya,tidak beriman seseorang itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.
Sahabatku yang sangat aku cintai..
Sungguh,jalan yang kita lalui ini bukan jalan yang indah dan mudah. Jalan ini matlamatnya cantik dan mengkagumkan.Tapi, sungguh tidak dapat aku janjikan kepadamu jalan ini akan senang kau lalui. Bukankah sejarah membuktikannya, haq yang ingin dibawa tentu sekali akan ditentang.
Sahabat..
Bukankah dalam kita berdiskusi, seringkali kita ingatkan pejuang yang telah lama terkorban dulu? Sheikh Hassan Al Banna,ditembak di pasar. Kerna apa? Kerna dia membawa yang haq! Syed Qutb,nyawanya tercabut menemui Rabb nya di tiang gantung? Kerna apa? Kerna dia membawa yang haq. Sheikh Ahmad Yassin dibunuh dengan misil yahudi laknatullah di hadapan masjid di subuh yang hening. Kerna apa? Kerna dia juga membawa yang haq!
Amanah ini untuk kita,sahabatku.Amanah ini untuk orang seperti kalian. Bukanlah aku ingin menggoyahkan semangat wajamu dan bahkan tidak sesekali. Tetapi sahabat,yang pasti ingin aku ingatkan janji Allah terhadap orang yang menolong agamanya, Allah pasti akan membantu urusannya. Aku ingin ingatkanmu kasih sayangNya dan rahmatNya terhadap hamba yang diredhai Nya. Bukankah senang nanti bila Allah tanyakan kepada kita: Apa yang kau gunakan masa mudamu dan aku dan kau serentak menjawab :Ya Tuhanku, Ya Rabb, masa mudaku dan masa tuaku adalah aku letakkan pada jalanMu. Adalah untuk Kau. Hanya untuk hidup dalam redhaMu walau kami ditekan. Untuk hidup dalam cinta kami kepada Mu.
Sahabat...
Peluru, tali gantung, pedang yang tajam, bahkan tekanan yang kuat dari pengalaman kehidupan sememangnya boleh melemahkan sesiapa sahaja. Tapi bukan engkau. Engkau dibina dengan tarbiyah. Dihiasi keindahan akhlak. Dilahirkan sebagai pendukung agama ini. Biar siapa sahaja pun engkau, biar apa sahaja kata orang,kau terus menguatkan langkah menyusur jalan in. Aku yakin,kerna kau sahabatku.
Sahabatku yang dikasihi..
Tidak dapat aku janjikan kesenangan dan kemewahan mengikut jalan ini. Tidak dapat aku berikan nama dan pangkat. Tapi akan ku tawarkan yang lebih baik dari segala itu. Akan kuberikan doaku semoga kau teguh dalam jalan ini .Akan ku bersama kau melangkah membawa haq dalam jalan ini. Akan aku luka dan berdarah bersama kau. Kerna kita saudara yang saling mencintai kerna Nya.
Tulus,
Sahabatmu tercinta
Saya Rela Jadi Isteri Kedua Awak.!

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.
Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.
"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Fulanah mula sebak.
"Tak. Maksud saya…"
"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.
"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.
Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.
"Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.
Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut.
Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.
Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.
"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu.
"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.
"Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.
Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.
"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu.
"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
"Baiklah," jawab Syazni tersenyum.
Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.
"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.
Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut
"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.
"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.
Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
"PERJUANGAN, " jawab Syazni.
***************
Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!
Jika dirimu bakal seorang isteri…
Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!
Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…
Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri \mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!
Jika dirimu bakal seorang suami…
Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.
Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…
Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!
Sumber:LINK
Lupanya Aku Pada Sahabat Ku..

*Ini mungkin sebuah cerita rekaan yang mungkin benar-benar terjadi dialam realiti kepada manusia di sekeliling kita.*
Aku mempunyai sahabat baik sejak dari dulu lagi. Tetapi sejak akhir-akhir ini, aku bagaikan melupakan mereka.
Su, aku bagaikan melupakan kau. Tak macam dulu. Contohnya tadi, aku betul-betul lupa su. Pagi tu aku bangun lambat. Hampir pukul 8 pagi. Kelam kabut aku bersiap ke kelas. Mana tidaknya, malam tadi aku tidak tidur semalaman. Assignment bertimbun. Dengan test la, homework la, itu belum lagi presentation. Lecturer bagi assignment banyak-banyak. Diaorang ingat aku nie robot agaknya. Menyesal aku tak siapkan awal-awal assignment ni. Mintak maaf su, aku bukannya taknak jumpa kau, Tapi kau fahamlah keadaan aku. Bukan kau sorang je aku tak jumpa.
Zu pun dah lama aku tak jenguk. Kesian zu. Mintak maaf zu. Aku sekarang lambat balik kelas. Pukul satu lebih. Lepas kelas, aku lepak-lepak kejap. Itu pun kalau tak ada kelas petang. Kalau ada kelas petang, nasib la. Balik je, perut lapar, terus pergi makan di kafe. Lepas makan, aku terus tidu. Kadang-kadang sekejap, tetapi selalunya lama. Aku tahu zu, dulu aku selalu jumpa kau waktu-waktu macam ni. Tapi sekarang aku susah sangat nak jumpa kau. Aku busy lah zu.
As, kau sorang lagi kawan rapat aku dulu. Nampak macam aku dan mengabaikan kau je sekarang. Aku sibuk as. Petang-petang aku pergi library study. Kalau tidak pun, perbincangan waktu tu. Kadang-kadang ada meeting persatuan, mesti lama. Sejam dua. Itu belum lagi ditambah borak-borak kosong.
Mag, kau pun aku dah ingat-ingat lupa. Agaknya sebab kau ni ganjil kot. Yang lain tak ganjil macam kau. Macam-mana nak jumpa kau mag. Sekarang nie, latihan sukan memang tengah giat dijalankan. Aku ikut sekali. Balik pun dah lewat. Balik dari latihan, aku tidak terus mandi, nanti panau. Agak-agak penat hilang baru aku mandi.
Lepas mandi, kawan-kawan ajak keluar. Aku tahu, aku ada temujanji lain. Dengan Is, kawan baik aku sorang lagi. Tapi, kawan-kawan aku sudah menunggu. Kalau aku tak pergi, nanti aku dilabel sombong pula. Itu yang aku tidak mahu. Jadi aku pun pergilah. Lepas makan-makan, kami sembang-sembang pula. Lepas satu topik, topik lain pula keluar. Akhirnya dah lewat malam baru balik. Lepas tu, main game pula. Biasalah, aku suka main game. Aku main sampai mengantuk. Terus aku tertidur. Is, aku mintak maaf sangat.
Akhirnya, semua aku tak jumpa. Semu aku tinggalkan. Dari Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib, dan Isyak. Aku tak menjaga mereka semua. Sedangkan, merekalah 'sahabat' yang akan bersama aku di akhirat kelak.
Sahabat yang melupakanmu,
???
