BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Hati Oh Hati

Pernahkah kita merasa sedih, marah, sakit hati, gembira dan sebagainya? Bagaimana kita membuktikannya sedangkan kita tidak mampu melihat semua perasaan itu dengan mata kasar sebagaimana kita melihat luka di tangan? Itulah keajaiban yang Allah jadikan. Perasaan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi dapat dirasai dengan hati kita. Hati kita juga sangat sensitif terhadap apa yang terjadi di sekeliling kita. Apa yang kita dengar, lihat, dan rasa segalanya terus memberi kesan kepada hati kita. Hati inilah yang akan menentukan positif dan negatifnya diri kita. Hati ini jugalah yang menentukan siapa kita.

“Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati”
(Hadis Riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim)

Memang diakui, hati itu amat sukar dijaga. Godaan syaitan sentiasa bersama dan imanlah yang melawannya. Hati yang kotor adalah disebabkan dosa serta maksiat yang dilakukan. Setiap dosa yang dilakukan tanpa taubat akan menyebakan titik hitam pada hati. Makin banyak dosa yang dilakukan tanpa taubat, maka makin gelaplah dan hitamlah hati dan akhirnya hitamlah seluruh hati.

“Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.”
(Hadis Riwayat Ibn Majah)



Hati yang hitam itu jangan dibiarkan terus menjadi hitam. Cucilah ia, bersihkanlah ia. Pelbagai cara boleh dilakukan agar kita dapat mencuci hati kita. Antaranya.


1. Melakukan solat taubat
2. Baca Al-Quran
3. Banyak berdoa
4. Berkumpul dengan orang soleh
5. Banyakkan berpuasa
6. Zikir
7. Muhasabah diri
8. Mengingati mati

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kamu, tidak juga kepada rupa kamu tetapi ia melihat kepada hati dan amalan kamu”. ( Hadis Riwayat Muslim)


Jadi, hati-hati dengan hati kita. Jom check hati kita. Sentiasalah bersihkan ia dan cuba pelihara hati kita. :)

KITA

Dengan Nama Allah Yamg Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.



Kita diciptakan dari setitis air mani,
Dilimpahi nikmat sejak dari rahim ibu lagi,
Diberikan nyawa dan pancaindera yang tidak boleh dijual beli,
Dilengkapi nikmat terbesar Iman dan Islam yang tidak semua perolehi.

9 bulan dalam rahim ibu,
Lahir didunia dengan izin Allah Yang Satu,
Dibesarkan dengan pelbagai ilmu,
Dikurniakn dengan kasih sayang dari Tuhanmu.

Al-Quran dan Sunnah dibekalkan,
Untuk dijadikan pegangan dan panduan,
Agar hidup sentiasa dalam keberkatan,
Menjadi diantara orang-orang beriman.

Hidup ini penuh dugaan,
Tetapi jangan jadikan ia keluhan,
Sesungguhnya Allah menguji dengan kemampuan,
Sedarlah kita dimana kedudukan.

Peliharalah imanmu,
Sentiasalah mencari ilmu,
Jangan ikutkan hawa nafsu,
Kerana syaitan akan mentertawkanmu.



Hidup ini penuh dengan nafsu,
Kawallah ia sebelum ia mengawalmu,
Ingatlah, syaitan tidak pernah jemu,
Menggoda anak adam mengikut hawa nafsu.

Kita hidup didunia sementara,
Bersyukurlah dengan apa yang ada,
Beramallah sebaiknya,
Kelak menyesal tidak berguna.

Dimana Letaknya Kita Sebagai Wanita Islam?

DIMANA LETAKNYA KITA SEBAGAI WANITA ISLAM?




Lelaki :“Eyh,aurat tuh”
Perempuan :“Ala relakslah”
Lelaki :“Relaks?”
Perempuan :“Yup,relaks”

Astaghfirullahal adzim. Jujur, ini kisah benar. Lebih kurang macam inilah perbualan lelaki dan perempuan yang saya baca di ‘picture comment’ salah sebuah laman web sosial yang terkenal. Saya agak terkejut membaca ‘comment’ perempuan tu. Sedih bila difikirkan semula. Tapi, inilah realiti sebenar umat Islam.

Isu ini bukan lagi isu baru. Namun isu ini tidak pernah lekang dari keluhan dan perbualan. Persoalan demi persoalan timbul. Siapa sebenarnya wanita Islam? BAGAIMANA MEMBEZAKAN WANITA ISLAM DAN BUKAN ISLAM DARI CARA PEMAKAIAN MEREKA? Bukankan wanita Islam sepatutnya menutup aurat? Kenapa nak dedah aurat? Bagaimana nak membantu mereka sedangkan mereka sendiri tidak mahu membantu diri mereka?

Wanita Islam kini tidak berpakaian yang melambangkan mereka adalah wanita Islam. Bukan sahaja remaja, malahan semua peringkat umur boleh kita lihat. Pakaian ‘trendy’ yang menjadi pilihan dan ikutan dari barat menjadi perhiasan diri. Malahan, ada lebih teruk lagi dari sebahagian dari barat. Alasan yang diberikan, ingin cantik, taknak ketinggalan zaman, 'trend' terbaru dan macam-macam lagi.

“Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang,bukan terletak pada wajah dan pakaiannya” (hamka)



Jelas dan nyata dinyatakan dalam Al-Quran:

“ Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu,dan perempuan-perempuan yang beriman,supaya melabuhkan pakaian bagi menutup seluruh tubuh(semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagaiperempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan ingatlah Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani”. (Al-Ahzab:59)

Dimana silapnya kita, wahai wanita Islam. Sedarlah. Cuba Tanya pada diri,” dimana letaknya kita sebagai wanita Islam?”. Islam sebenarkah kita atau Islam pada nama. Sedar atau tidak, kita sebenarnya membawa Islam ke mana sahaja kita pergi. Jangan terlalu salahkan pihak lain bila masalah maksiat,zina, dan sebagainya timbul. Tetapi kaji semula diri kita. Dari dosa berpakaianlah, lebih banyak dosa lain yang timbul. Na'uzubillah.




10 Perangkap Syaitan

Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui sepuluh pintu:


1. Melalui sifat bohong dan angkuh

Dua sifat inilah yang amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.




2. Melalui sifat bakhil dan kedekut

Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan ALlah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.

3. Melalui sifat takbur dan bongkak

Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. ALlah Taala berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takbur.'' (An-Nahl:23)

4.Sifat khianat

Khianat yang dimaksudkan bukan sahaja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi sebarang bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

5.Sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat

Junjungan RasuluLlah s.a.w. selalu menasihati para sahabat baginda agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan manusia yang dibenci Allah, iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.

6. Melalui sifat hasad

Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. RasuluLlah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering " (Riwayat Bukhari dan Muslim).

7. Melalui sifat suka meremehkan orang lain

Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa RasuluLlah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik iaitu orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil.'' (Riwayat Muslim).

8. Melalui sifat ujub atau bangga diri

Menurut Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang sahaja.'' (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

9. Melalui sifat suka berangan-angan

Islam adalah anti kemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian yang tinggi tetapi amat malas berusaha untuk memperolehnya.

10. Melalui sifat buruk sangka

Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. RasuluLlah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ``Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang telah rosak dirinya.''
(Riwayat Muslim)


mengumpat

Mengumpat...



Mengumpat didefinisikan sebagai menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Perbuatan mengumpat ini termasuklah memberitahu keburukan orang samaada memberitahu nama mereka ataupun tidak tetapi diketahui dan difahami oleh orang yang mendengarnya. Umpatan boleh berlaku dalam pelbagai cara dan dalam apa jua keadaan. Umpatan
boleh berlaku dengan menceritakan perihal jasmani, rohani, menceritakan keaiban,meniru gaya dengan
niat mengolok-ngolok dan sebagainya. Umpatan tidak sahaja berlaku apabila berlaku pertemuan dan penceritaan melalui mulut. Umpatan boleh juga berlaku di alam siber seperti memburuk-burukkan orang semasa ‘berchatting’, atau seangkatannya.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Al-Hujurat :12)

Cuba bayangkan, kita sebagai manusia biasa dihidangkan daging manusia sebagai makanan. Sudah pasti kita hilang selera untuk makan. Inikan pula daging itu adalah daging saudara kita sendiri. Ketahuilah bahawa dosa orang yang mengumpat tidak dapat dimaafkan oleh Allah selagi ia tidak dimaaafkan oleh orang yang diumpatnya. Dan ketahui jugalah bahawa dosa mengumpat itu lebih besar dari dosa berzina.!



Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih
berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina apabila dia bertaubat,
Allah akan menerima taubatnya. Dan, sesungguhnya orang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang diumpat.” (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)

Sabda Rasulullah S.A.W: " Barangsiapa menolak (ghibah atas) kehormatan saudaranya, nescaya pada Hari Kiamat Allah akan menghindarkan api neraka dari wajahnya" (hadis riwayat Ahmad)