Berjalan melihat dunia. Macam-macam yang kita boleh tengok. Antaranya, kita boleh lihat pokok-pokok ciptaan Ilahi. Ada yang tumbuh rendang, berbuah dengan lebat, dan daun yang berbagai-bagai bentuk. Begitu juga sebaliknya. Ada juga yang tidak berbuah, kelihatan ranting-rantingnya sahaja, serta ada juga yang mati.
Bagaimana dengan kita? Apa khabar pokok yang kita tanam? Pokok ape pula yang kita tanam ni..
Pokok yang akarnya adalah aqidah kita. Batangya adalah ibadah asas kita. Daun-daunnya adalah ibadah sunat kita. Buah-buahannya adalah akhlak kita.
Akidah pula bermaksud kepercayaan atau keimanan kepada hakikat-hakikat atau nilai-nilai yang mutlak, yang tetap dan kekal, yang pasti dan hakiki, yang kudus dan suci seperti yang diwajibkan oleh syara' iaitu beriman kepada Allah swt, rukun-rukun Iman, rukun-rukun Islam dan perkara-perkara ghaibiyyat. Keimanan dan keyakinan yang tidak dapat dipesongkan ataupun dipatahkan oleh anasir-anasir luar. Aqidah inilah yang menjadi tunjang utama pokok kita itu.
Batang dan daunnya pula terdiri daripada ibadah asas serta ibadah sunat kita. Solat lima waktu, ibadah haji serta ibadah wajib yang lain dan ditambahkan lagi dengan ibadah sunat yang sentiasa dilakukan, maka semakin rendanglah pokok kita. Dilengkapi dengan daunnya yang cantik dan digagahi dengan batangnya yang kukuh.
Secara semulajadinya, ramai yang sukakan buah-buahan yang manis, elok serta sedap. Bagaimana pula untuk memastikan pohon yang kita tanam itu berbuah manis? Akhlaklah yang menetukannya. Akhlak dan budi pekerti yang elok menjadi perhiasan kita. Umpama buah-buahan di pohon-pohon yang rendang.
Cuba lihat luar seketika. Pokok-pokok yang rendang dan berbuah sentiasa menjadi tumpuan. Tumpuan manusia untuk berehat dah berteduh dibawahnya. Tumpuan burung-burung untuk singgah serta membuat sarang. Buah-buahannya juga menjadi hidangan manusia dan binatang. Pokok seperti ini banyak memberi manfaat kepada makhluk Allah yang lain.
Sama jugalah kita sebagai manusia. Manusia yang baik dalah yang memberi manfaat kepada orang lain. Dengan iman dan akhlak yang baik, kita mampu membantu orang lain. Jadi,jagalah pokok yang kita ada itu sebaiknya. Iman itu laksana pokok dengan akarnya. Jika baik imannya, kuatlah akarnya, cantiklah pokoknya.
No comments:
Post a Comment